Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri Sabtu ini

Syed Danial Syed Ahmad
Syed Danial Syed Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada kejutan buat umat Islam di Malaysia tahun ini kerana bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 22 April 2023.

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada Sabtu, 22 April 2023,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan itu dibuat selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang Khamis.

Tarikh yang diumumkan itu selari dengan jangkaan asal, sekali gus membuatkan keadaan persiapan Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia berada dalam keadaan lebih tenang berbanding tahun lalu.

Pengumuman tarikh Aidilfitri yang jatuh sehari lebih awal atau 'raya terkejut' pada tahun lalu membuatkan ramai rakyat Malaysia berkongsi pengalaman terpaksa melalui persiapan pada saat-saat akhir.

Pengalaman tersebut membuatkan ramai yang menjangkakan Aidilfitri tahun ini juga akan berdepan situasi sama lebih-lebih lagi apabila terdapat khabar yang yang bertiup lebih awal.

Bagaimanapun pengumuman dibuat Syed Danial menamatkan segala teka-teki umat Islam di negara ini.

Selain itu, penampilan Syed Danial di kaca televisyen dengan memakai baju Melayu berwarna coklat juga menjawab persoalan warganet teruja meneka warna baju yang bakal dipakai beliau setiap tahun sempena pengumuman yang dibuat.

Umat Islam di seluruh negara mula menyambut Ramadan pada 23 Mac lalu.