Laporan Tahunan 2022 PPPM

A
A
A

Fadhlina menunjukkan maklumat mengenai pencapaian semasa PPPM sambil diperhatikan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (kiri) ketika majlis pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada Selasa.
Fadhlina menunjukkan maklumat mengenai pencapaian semasa PPPM sambil diperhatikan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (kiri) ketika majlis pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada Selasa.

Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berjaya membuahkan hasil memberangsangkan sejak dicetuskan 10 tahun lalu dan terus diyakini mampu memberi pulangan modal insan yang terbaik kepada negara.

Kejayaan itu jelas dilihat melalui Laporan Tahunan 2022 PPPM yang dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Perpustakaan Raja Tun Uda, di Shah Alam pada Selasa.

Berdasarkan laporan tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berjaya mencapai sasaran aspirasi PPPM meliputi akses pendidikan, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Dari segi akses, PPPM telah menunjukkan peningkatan peratusan enrolmen pelajar daripada tahun 2013 sehingga 2022 meliputi sekolah menengah atas iaitu daripada 84.4 peratus kepada 90 peratus pada tahun 2022, sekolah menengah rendah (93.5 peratus kepada 95.3 peratus) dan sekolah rendah (94.4 peratus kepada 98.3 peratus).

No Image Caption

Sementara itu, bagi aspek kualiti, PPPM berjaya mencapai peningkatan 13 peratus purata merentas literasi bacaan, matematik dan sains dalam kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) selain 6 peratus purata literasi matematik dan sains dari tahun 2011 sehingga 2018 dalam kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS).

Artikel Berkaitan:

Bagi aspirasi ekuiti, PPPM menunjukkan pengurangan 29.5 peratus jurang pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di antara bandar dan luar bandar selain pengurangan 40.5 peratus jurang layak sijil SPM mengikut jantina.

Kejayaan ini termasuklah aspirasi perpaduan apabila Pencapaian Indeks Perpaduan dalam Pendidikan meningkat pada kadar 7.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.8 peratus pada tahun 2014.

Malah, kecekapan dalam infrastruktur pendidikan dalam PPPM turut menunjukkan keberhasilan apabila 644 daripada 879 sekolah daif telah berjaya dinaiktaraf pada tahun 2022. Selain itu, sebanyak 10,028 sekolah dan pejabat pendidikan telah mempunyai capaian internet dengan kelajuan 30Mbps-100Mbps di samping pelaksanaan DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) iaitu platform sumber-sumber pembelajaran yang boleh digunakan oleh para pelajar dan perkhidmatan sistem pengurusan pembelajaran, yang boleh diakses menggunakan akaun Google sedia ada.

Pembangunan literasi dan karakter

Fadhlina berbual dengan salah seorang pelajar semasa majlis pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada Selasa.
Fadhlina berbual dengan salah seorang pelajar semasa majlis pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada Selasa.



Pada masa sama, pelaksanaan 10 tahun PPPM juga berjaya membangunkan murid yang holistik melalui penguasaan literasi dan numerasi yang merangkumi STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi), Aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kemahiran digital dan profesiansi bahasa.

Malah, pelaksanaan PPPM juga turut berjaya meningkatkan pembangunan karakter para pelajar merangkumi Modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI), Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR), Program Intervernsi Minda Sihat (PRISMA), Kelab Rukun Negara, Program Khidmat Masyarakat dan Program Pembangunan Sahsiah Diri dan Disiplin Murid (PPSDM).

Pembangunan kompetensi guru juga telah diberikan perhatian sepanjang pelaksanaan PPPM sehingga 2022. Usaha ini dilihat menerusi 30 peratus pengambilan guru pelatih IPG (Institut Pendidikan Guru) lepasan SPM dengan pencapaian minimum 5A pada 2014 termasuk meletakkan syarat minimum Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) bagi pelantikan guru prasekolah kerajaan dan swasta.

Sementara itu, bagi guru-guru yang dalam perkhidmatan, pelaksanaan PPPM sehingga 2022 telah di menjalankan program Pembangunan Profesional Berterusan (PBB) bagi meningkatkan kecekapan dan kepimpinan mereka selain memberi peluang kepada mereka berkhidmat di sekolah, institusi pendidikan, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) atau bahagian-bahagian di KPM dengan syarat memenuhi Garis Panduan Pelaksanaan Mobiliti dan Fleksibiliti dalam Kluster Laluan Utama Laluan Kerjaya (GPLK).

No Image Caption

Pada masa sama, pelaksanaan kompetensi guru dalam PPPM sehingga 2022 turut memperlihatkan hampir kesemua guru KPM mempunyai ijazah sarjana muda selain pelaksanaan amalan Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0 serta melaksanakan saringan ketat ke atas calon pengetua dan guru besar sekolah.

Malahan, semua pengetua dan guru besar yang ditempatkan di sekolah-sekolah memiliki sijil Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Usaha peningkatan kompetensi guru turut melibatkan pembangunan bakat pemimpin melalui profiling pengawai perkhidmatan pendidikan gred DG52 dan DG54.

Secara keseluruhannya, pihak berkepentingan boleh merujuk Laporan Tahunan 2022 PPPM untuk mengetahui tentang ‘lessons learnt’ daripada sedekad pelaksanaan pelan pembangunan pendidikan itu.

Selain kejayaan, laporan tahunan itu turut mencatatkan kejayaan, cabaran serta penglibatan pelbagai pihak dalam transformasi pendidikan seperti komuniti, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) serta pihak korporat yang telah menyumbang kepada kejayaan keseluruhan PPPM.

No Image Caption