Guna gelaran, lambang diraja Kelantan, ahli perniagaan didenda RM20,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan didenda RM20,000 atau tiga tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menggunakan gelaran dan lambang Kerabat Diraja Kelantan iaitu Kerabat Diraja Long Yunus, lima tahun lepas.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tengku Iskandar Tengku Ahmad, 73, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi dua kesalahan menggunakan gelaran, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan manakala bagi dua lagi kesalahan menggunakan lambang, dia dijatuhi hukuman denda RM9,000 atau setahun penjara bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa tanpa kebenaran Sultan Kelantan, menggunakan gelaran 'Yang Maha Mulia' pada surat kuasa bertarikh 31 Ogos 2014 yang ditandatangani olehnya dengan nama 'Yang Maha Mulia Tengku Iskandar Tengku Ahmad Panglima Raja' dan menggunakan gelaran sama pada dokumen watikah penganugerahan yang ditandatangani beliau.

Watikah itu bertujuan untuk menganugerahkan darjah kebesaran kepada seorang ahli perniagaan, Kok Wai Peng, 55, tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Kelantan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3(1)(a) Kelantan Enakmen Bil 8 Tahun 1977, Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-nama (mencegah daripada salah guna) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 Enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, Tengku Iskandar didakwa bertindak bagi pihak Kerabat Diraja Long Yunus telah menandatangani surat kuasa sama dengan kepala surat berlambang Pertubuhan Kerabat Diraja Long Yunus yang bertujuan membenarkan penama Chai Kok Leong, 51, mengendalikan kenderaan jenis Mercedes Benz dengan nombor pendaftaran WA45J yang turut tertera lambang sama.

Dia juga didakwa bertindak bagi pihak Kerabat D'Raja Duli Yang Maha Mulia Long Yunus dengan menandatangani dokumen watikah penganugerahan menggunakan darjah kebesaran 'Seri Panglima Perkasa' yang membawa gelaran 'Dato' Seri Diraja' kepada Kok Wai Peng.

Artikel Berkaitan:

Dalam watikah tersebut, turut tertera lambang pertubuhan kerabat berkenaan seolah-olah OKS memegang jawatan Yang Dipertuan bagi pertubuhan itu sedangkan ia (pertubuhan) telah dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Kelantan pada 11 Februari 2011.

Bagi kedua-dua kesalahan menggunakan lambang, dia didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat DU Tyre Sdn Bhd, Damansara Utama, di sini pada 3 petang, 31 Ogos 2014 dan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan antara 5 petang dan 11 malam, 7 Ogos 2013.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir, Ahmad Sazilee Abd Khairi dan Mohd Zain Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk denda maksimum kepada Tengku Iskandar dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan melibatkan institusi kesultanan selain kes telah melalui satu tempoh perbicaraan penuh sejak 2017.

Bagaimanapun, Tengku Iskandar yang diwakili peguam Datuk Joshua Sambanthan memohon hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap. - Bernama