30 individu, personaliti didakwa guna gelaran Datuk palsu

Abdul Razak (kiri) bersama pimpinan MDMM tampil membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya pada Isnin.
Abdul Razak (kiri) bersama pimpinan MDMM tampil membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 30 individu serta personaliti terkenal di negara ini didakwa menggunakan gelaran Datuk palsu dan tidak diiktiraf untuk tujuan kepentingan peribadi.

Exco Majlis Datuk Dato Malaysia (MDMM), Datuk Abdul Razak Dawood berkata, selain itu ada dalam kalangan individu ini yang telah ditarik darjah kebesaran mereka namun dikesan masih menggunakan gelaran tersebut atas pelbagai urusan termasuk perniagaan.

Menurutnya, kesemua individu terbabit didakwa melibatkan sektor korporat dan hiburan selain personaliti perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Lebih 15 aduan daripada orang ramai mengenai isu berkenaan sejak awal tahun ini dan ia sekali gus mencalarkan imej anugerah tersebut yang seharusnya dijaga serta dipelihara dengan baik.

"Apa yang membimbangkan, terdapat juga mereka yang terlibat ini dikenal pasti ada kaitan dengan kegiatan penipuan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya pada Isnin.

Abdul Razak berkata, seharusnya darjah kebesaran yang dikurniakan institusi diraja itu dipelihara dengan baik dan tidak diguna sewenangnya untuk kepentingan peribadi.

"Tindakan sebegini secara tidak langsung memberikan perspektif negatif serta mengelirukan masyarakat," ujarnya.

Justeru, pihaknya berharap agar satu tindakan tegas diambil pihak berkuasa dalam memastikan perkara ini tidak berleluasa.

"Siasatan dan tindakan segera perlu dijalankan di bawah Akta Kesalahan Berkaitan Anugerah 2017 (Akta 787).

"Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa melakukan semakan menerusi platform antaranya di laman sesawang www.istiadat.gov.my atau portal 'Checkmytitle'," katanya.