Akaun YAB disita, bayaran pembinaan masjid tertangguh - Saksi

Ahmad Zahid (dua, kiri) hadir untuk perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua, kiri) hadir untuk perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus projek memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita akaun bank Yayasan Akalbudi (YAB) menyebabkan pembayaran Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak kepada pihak kontraktor, tertangguh selama beberapa bulan.

Saksi pembelaan kesembilan, Ramli Ghani berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ramli, 56, yang bekerja di bawah syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd iaitu kontraktor pembinaan masjid sejak 2008 itu berkata, proses pembinaan masjid dibuat pada Julai 2017, namun ia dihentikan seketika pada pertengahan 2018 kerana siasatan SPRM.

“Selepas mendapat kebenaran daripada Yayasan Al Falah, barulah kerja-kerja pembinaan tersebut diteruskan semula pada awal 2019.

“Pembinaan Masjid Tuminah Hamidi ini sepatutnya selesai pada September 2022 lalu, namun hanya berjaya disiapkan April lalu dan digunakan untuk sambutan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan masjid itu sebanyak RM38 juta dengan tambahan RM5.7 juta selepas Proses Perubahan Kerja (VO).

Sementara itu, saksi pembelaan ke-10, Pengerusi Masjid Al Aula, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Mohd Sani Chik berkata, pembinaan Masjid Al Aula merupakan 100 peratus hasil sumbangan Ahmad Zahid.

Mohd Sani, 74, berkata, Ahmad Zahid bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM400,000 menggunakan cek peribadinya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masjid itu siap dibina pada 2004 manakala tiga tahun kemudian, ahli kariah masjid telah memohon supaya satu kawasan tanah kubur bagi masjid tersebut dibuat.

Bagaimanapun beliau berkata, pembinaan tanah kubur itu terbantut kerana terdapat beberapa isu dalaman antaranya kos dan lokasi.

Katanya, Ahmad Zahid memaklumkan kepadanya, 'proceed whatever you have done (teruskan apa sahaja yang telah anda lakukan), saya akan bantu’ selain memberikan sumbangan sebanyak RM200,000.

“Selain itu, Ahmad Zahid turut memberi sumbangan lembu untuk sambutan Aidiladha, pek-pek makanan untuk Ramadan dan RM8,000 untuk kerja pembinaan penambahbaikan pejabat Masjid Al Aula,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa.