PRN Melaka: ‘Sakau’ peringatan buat diri sendiri, tak lupa bila ada kuasa - Farzana

MELAKA - Perkataan ‘sakau’ yang menjadi bahan gurauan dan tular di media sosial susulan kenyataan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir ketika penamaan calon, disifatkan sebagai peringatan buat dirinya sendiri agar tidak lupa diri apabila diberi kuasa.
Farzana mewakili Pakatan Harapan (PH) berkata, ungkapan itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak, sebaliknya membawa maksud supaya sentiasa mengingatkan diri tentang tanggungjawab dan amanah apabila memegang jawatan.
Menurutnya, perkara itu juga tidak memberi kesan terhadap perjalanan kempennya setakat ini, malah maklum balas yang diterima daripada pengundi di Klebang adalah positif.
“Alhamdulillah, tidak ada kesan apa-apa pada diri sendiri. Cuma ‘sakau’ itu merupakan peringatan buat diri saya sendiri.
“Apabila kita sudah ada kuasa, kita diuji dengan kuasa. Mungkin itu salah satu peringatan buat saya,” katanya ketika ditemui pada Program Kopilih Harapan bersama YB Altimet dan YB Rara di Pulau Gadong pada Rabu.

Pada penamaan calon Sabtu lalu, Farzana menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau terlalu muda untuk menjadi calon, selain tidak mempunyai pengalaman politik dan pentadbiran.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu yang juga calon wanita termuda pada PRN Melaka menegaskan bahawa beliau sememangnya tidak mempunyai pengalaman dalam perkara yang menyalahi undang-undang atau merugikan rakyat.
Dalam pada itu, mengulas reaksi pengguna media sosial yang turut menjadikan perkataan berkenaan sebagai bahan gurauan, Farzana berkata, perkara itu tidak menjejaskan usahanya mendekati pengundi.
Malah katanya, sepanjang berkempen, beliau turut menerima maklum balas positif daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasan berkenaan.
Ujarnya, beliau sentiasa meraikan kepelbagaian masyarakat tanpa menjadikan perbezaan kaum atau agama sebagai penghalang untuk mendekati pengundi.
“Di Klebang ini kita meraikan pelbagai bangsa, kaum dan agama. Saya juga meraikan semua orang, bukan berdasarkan bangsa semata-mata.
“Ini negara demokrasi yang berbilang bangsa, kaum dan agama. Kita masuk sahaja ke semua kawasan dan berjumpa dengan semua orang,” katanya.
DUN Klebang menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong; Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Bersama) serta Farzana.
Pada PRN Melaka 2021, calon BN, Datuk Lim Ban Hong memenangi kerusi DUN Klebang dengan 5,028 undi, menewaskan calon PKR, Datuk Gue Teck dengan 4,152 undi dan calon PN, Bakri Jamaluddin yang memperoleh 3,884 undi.
SPR menetapkan 10 November ini bagi tarikh pengundian awal manakala 14 November sebagai hari pengundian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

