Calon Bebas Bukit Katil mengaku masih ahli UMNO

Abu Bakar menunjukkan bahan kempen yang diedar kepada pengundi DUN Bukit Katil.
Abu Bakar menunjukkan bahan kempen yang diedar kepada pengundi DUN Bukit Katil.
A
A
A

HANG TUAH JAYA – Calon Bebas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil mendedahkan dirinya masih lagi ahli UMNO ketika mengambil keputusan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ketua UMNO Cawangan Taman Bukit Katil, Datuk Abu Bakar Sabudin berkata, keputusan itu dibuat selepas hasratnya untuk bertanding tidak mendapat tempat dalam parti yang disertainya sejak muda.

Menurutnya, sudah empat kali menyuarakan hasrat untuk menjadi calon sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

"Sudah lama menyampaikan hasrat untuk bertanding, tetapi tiada peluang diberikan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas.

"Jiwa saya masih bersama UMNO. Saya sudah 40 tahun dalam parti itu dan berkhidmat kepada masyarakat itu tidak asing bagi saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abu Bakar yang juga broker tanah melahirkan keyakinan dapat memenangi hati rakyat berikutan mempunyai hubungan rapat dengan penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

Anak jati Bukit Katil itu berkata, hasil penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan sekian lama menjadi sandaran pada hari pengundian 14 November ini.

"Saya kenal hampir tiga perempat penduduk di kawasan ini. Keluarga dan adik-beradik saya juga berada di sini. Hubungan dengan masyarakat memang rapat.

"Sebab itu ketika penamaan calon, semua kaum ada bersama saya. Saya juga memakai pakaian mengikut bangsa sebagai simbolik sokongan dan hubungan yang terjalin selama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas gerak kerjanya, Abu Bakar berkata, kempen turun padang dan menyantuni pengundi dilakukan dengan bantuan rakan-rakan yang menyokong pencalonannya.

Katanya lagi, dia menganggarkan penerimaan kira-kira 20 peratus pengundi berdasarkan pergerakan kempen dalam tempoh empat hari pertama.

"Kempen saya masih dengan kaedah secara bersemuka termasuk mengunjungi rumah penduduk akan diteruskan bagi mendekati lebih ramai pengundi," katanya lagi.

Mengulas kebimbangan kemungkinan undi Melayu berpecah susulan penyertaannya, kata Abu Bakar, dia tidak terlalu memikirkan perkara itu dan menyerahkan segala kemungkinan kepada ketentuan ALLAH.

"Saya tidak kisah ada yang meminta saya menarik diri. Saya memang jiwa UMNO, tetapi saya sudah membuat keputusan.

"Jangan tengok saya diam sahaja, apabila sudah buat keputusan bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan," katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, beliau turut menyediakan manifesto sendiri bertemakan 'Suara Rakyat Keutamaan' dengan menggunakan simbol kunci sebagai lambang usaha membuka minda dan hati pengundi terhadap tawaran yang dibawanya.

"Antara fokus ialah memperjuangkan kebajikan warga emas, peluang pemilikan rumah pertama bagi golongan muda serta pembangunan ekonomi menerusi bantuan kepada usahawan kecil, penjaja dan peniaga tempatan.

"Perhatian turut diberikan kepada pembelaan wanita dan institusi keluarga melalui penyediaan pusat khidmat nasihat serta sokongan, selain memperjuangkan penambahbaikan infrastruktur awam termasuk jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan dan kemudahan keselamatan," jelas beliau.

Katanya, sebanyak 20,000 helai bahan kempen menggunakan simbol kunci disediakan untuk diedarkan kepada penduduk.

Abu Bakar berkata, sekiranya diberikan mandat, keutamaan pertamanya adalah menyelesaikan masalah infrastruktur asas serta menangani masalah sistem perparitan dan saliran tersumbat.

 

END

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!