Sub sektor akuakultur sumbang pendaratan ikan 573,000 tan metrik

Abdullah (kiri) dan Adnan (tengah) menyerahkan 1,000 ekor benih ikan kepada penternak akuakultur.
Abdullah (kiri) dan Adnan (tengah) menyerahkan 1,000 ekor benih ikan kepada penternak akuakultur.
A
A
A

KUANTAN - Sub sektor akuakultur telah menyumbang pendaratan ikan negara sebanyak 573,000 tan metrik pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 417,000 tan metrik, tahun sebelumnya.

"Kita lihat pada pertambahan angka itu dan ini sudah cukup membuktikan bahawa pengeluaran akuakultur ini secara tidak langsung dapat menampung kekurangan bekalan ikan khususnya pada musim tengkujuh.

"Jadi, menjadi hasrat kita (Jabatan Perikanan) untuk meningkatkan lagi aktiviti akuakultur ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan isu keterjaminan makanan ditangani dengan secara berstruktur oleh agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Perikanan 'Rasa-Rasa Akuakultur' negeri Pahang di pekarangan bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar.

Pada majlis itu, bantuan sistem penyampaian dan khidmat sokongan pengembangan (SPeKS) diberikan kepada tujuh usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) yang bernilai RM155,490.

Turut disampaikan bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) bernilai RM40,000 kepada dua usahawan, selain bantuan benih ikan kepada penternak akuakultur serta bantuan kit keselamatan kepada Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Daerah Kuantan.

Adnan memaklumkan, jabatan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran sumber protein melalui sub sektor akuakultur.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengakui sektor itu mempunyai cabaran termasuk fenomena El-Nino yang melanda dunia dan negara turut menjejaskan pengeluaran akuakultur.

Adnan melihat juadah yang dimasak oleh peserta pada Program Jelajah Perikanan 'Rasa-Rasa Akuakultur' negeri Pahang di pekarangan bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada Sabtu.
Adnan melihat juadah yang dimasak oleh peserta pada Program Jelajah Perikanan 'Rasa-Rasa Akuakultur' negeri Pahang di pekarangan bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada Sabtu.

"Ada penternak yang terkesan dengan perubahan cuaca ini (El -Nino), namun kita berharap situasi ini tidak berpanjangan dan aktiviti akuakultur ini kembali pulih," katanya.

Tambah Adnan, bagi memastikan pengeluaran benih ikan yang mampan terus terjamin, pusat pengembangan akuakultur (PPA) bagi menghasilkan benih ikan telah diwujudkan di negara ini.

Katanya, terdapat dua PPA di Pahang iaitu Bukit Tinggi, Bentong dan Perlok, Jerantut bagi pengeluaran benih sekali gus dapat memenuhi keperluan penternak sangkar, selain pelepasan ke perairan umum dalam negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 1.5 juta ekor benih ikan dikeluarkan di PPA Perlok manakala 2.47 juta ekor benih ikan di PPA Bukit Tinggi.

"Kita yakin (pengeluaran benih ikan) ini dapat menampung sebahagian besar kekurangan benih yang berlaku di negara.

"Kita (akan) lepaskan (benih ikan) ke perairan umum untuk meningkatkan stok populasi ikan dan ia pasti dapat memberikan manfaat kepada nelayan darat di negara ini," katanya.