Tindakan TV Pertiwi tertakluk kepada siasatan - SKMM

SKMM akan menyiasat TV Pertiwi di bawah AKM 1998 bagi menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan.
SKMM akan menyiasat TV Pertiwi di bawah AKM 1998 bagi menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang tindakan yang diambil terhadap TV Pertiwi adalah tertakluk kepada siasatan bagi memastikan integriti dan keselamatan maklumat yang disebarkan melalui kandungan atau platform media berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata, siasatan dilaksanakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) itu bagi menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan.

Ia terutamanya yang berkaitan dengan maklumat yang salah atau tidak tepat.

"Dalam proses penilaian terhadap TV Pertiwi, SKMM berusaha untuk menjalankan tugas kawal selia dengan penuh bertanggungjawab.

"SKMM akan sentiasa memelihara kedaulatan undang-undang dan menjaga kepentingan awam," katanya pada Jumaat.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman memohon pihak berkuasa agar menghormati dan memastikan pengamal media di negara ini diberi kebebasan dalam menjalankan tugas dengan berlandaskan etika kewartawanan sedia ada.

Katanya, ia selaras dengan jaminan dan dasar Kerajaan Perpaduan dan jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kebebasan media kepada pengamal media di negara ini.

"Persatuan ini memandang serius dan mengecam tindakan pihak berkuasa menyekat akses tanpa notis dan sebab ke atas portal berita dalam talian TV Pertiwi dan beberapa portal lain sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan seperti ini juga dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media yang kini sudah berada di kedudukan 73 daripada 180 negara dengan skor 62.83," ujarnya.

Media melaporkan portal berita TV Pertiwi telah disekat oleh SKMM pada Khamis, dua hari selepas akaun TikToknya disekat.

Sehubungan itu, Ketua pegawai operasinya, Mohd Firdaus Salleh Hudin menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital serta SKMM memberi penjelasan selain nyatakan ‘kesalahan’ yang telah dilakukan portal berita tersebut.