Undang-undang wakaf mampu perkasa institusi wakaf: Fuziah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bercakap dalam sesi Sinar Live "Dimensi Wakaf Di Malaysia", di Dewan Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bercakap dalam sesi Sinar Live "Dimensi Wakaf Di Malaysia", di Dewan Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Rang undang-undang (RUU) untuk mewujudkan akta berkaitan wakaf dilihat mampu memperkasakan institusi wakaf di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, jika diluluskan RUU itu juga boleh menjadi model kepada enakmen wakaf di negeri-negeri.

"RUU ini untuk Wilayah Persekutuan saja. Tetapi apabila diluluskan, kita mahu ia jadi akta model untuk urus tadbir wakaf dan boleh diguna pakai untuk penambahbaikan enakmen sedia ada di enam negeri.

"Begitu juga untuk melaksanakan enakmen yang belum ada di negeri lain. Dari situ kita boleh selaraskan undang-undang wakaf di seluruh negara dan seterusnya memperkasakan institusi wakaf," katanya pada program Sinar Live bertajuk 'Dimensi Wakaf di Malaysia' di sini hari ini.

Program itu dikendalikan Pengarah Eksekutif Siasah Rahmah Research & Consultancy, Muhammad Arham Munir Merican.

ARTIKEL BERKAITAN: Undang-undang wakaf akan digubal

Menurut Fuziah, ketiadaan undang-undang untuk mengurus tadbir wakaf antara penyebab institusi itu agak terbantut dan ketinggalan.

"Faktor lain ialah kekurangan kumpulan wang wakaf, kesedaran orang ramai dan kurangnya hala tuju pimpinan sebelum ini untuk majukan wakaf. Sebab itu orang Malaysia melihat wakaf ini lebih kepada tanah, tahfiz, kubur, al-Quran dan masjid.

Artikel Berkaitan:

"Sukar untuk mereka salurkan wang wakaf kepada bentuk yang lain. Bukan kerana tak mahu tapi mungkin kerana prasarana itu sendiri tidak wujud," katanya.

Katanya, pemerkasaan institusi wakaf juga tidak boleh bergantung kepada dana kerajaan semata-mata.

"Untuk berterusan, kena ada sumbangan orang ramai. Maksudnya, kumpulan wang wakaf itu daripada orang ramai yang ingin menyumbang dan mendapat pahala.

"Tetapi untuk menjadikannya realiti kita kena ada undang-undang yang baik. Barulah timbul keyakinan orang ramai terhadap integriti institusi itu sendiri," katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, antara prasarana wakaf yang boleh dibangunkan ialah universiti dan hospital wakaf.

"Apabila bercakap tentang universiti wakaf ini, jangan fikir tiada kualiti dan untuk orang susah saja. Universiti Harvard dan Universiti al-Azhar adalah antara contoh universiti berprestij yang beroperasi melalui endowment," katanya.