Perlu SOP, penguatkuasaan untuk henti amalan beri komisen

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Muhammad Fazril
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Muhammad Fazril
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak berwajib perlu memperkenalkan satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) khusus dan bersifat menyeluruh serta diperkukuh dengan penguatkuasaan undang-undang komprehensif bagi menangani amalan pemberian komisen projek pembangunan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, pihaknya turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan perkara itu dihentikan segera, dalam masa sama turut menyifatkan pemberian sedemikian kepada menteri atau mana-mana pegawai berkaitan yang berkepentingan sebagai suatu amalan rasuah.

"Pengenalan ini bagi menyekat amalan tersebut daripada terus berlaku dan dalam masa yang sama dapat menjaga kepentingan dan hak kesemua pihak yang terlibat dalam projek pembangunan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam laporan Sinar Harian pada Khamis, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan, namun amalan memberi komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak seharusnya berlaku.

Perdana Menteri berkata lagi, adalah lebih baik 'peruntukan komisen' berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan banyak pembangunan projek seimbang meliputi pembinaan projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan pusat-pusat penjaja yang lebih tersusun.

Mengulas lanjut, Muhammad Fazril menegaskan bahawa teguran tegas Anwar berhubung perkara itu menunjukkan bahawa amalan sepertinya sudah sekian lama dipraktiskan di negara kita.

"Justeru seperti yang saya cadangkan tentang pentingnya pengenalan SOP tadi yang antara lainnya mungkin boleh mewajibkan pematuhan sistem Pengurusan Antirasuah oleh Lembaga Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

"Serta mewajibkan projek-projek berkaitan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta melaksanakan proses pemeriksaan dalaman berkala dan mewajibkan setiap pemaju bagi projek pembinaan melantik perunding bebas bertauliah untuk pemantauan projek," tegasnya lagi.

Artikel Berkaitan: