Henti amalan minta, beri komisen dalam projek pembangunan - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu amalan meminta dan memberi komisen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan dihentikan segera.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan, namun amalan memberi komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak seharusnya berlaku.

"Ada keuntungan (syarikat) tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk pak menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan. Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju Wilayah Persekutuan.

"Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar? Hakikatnya semua mengakui ini telah menjadi amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di sini pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik "peruntukan komisen” berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan banyak pembangunan projek seimbang meliputi pembinaan projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan pusat-pusat penjaja yang lebih tersusun.



Merujuk ibu negara, Kuala Lumpur yang kini berkembang pesat dan dipacu pembangunan, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan menetapkan syarat agar dalam pembinaan projek perumahan baharu, ia perlulah seimbang bagi mewujudkannya sebagai ibu kota prihatin, ibu kota Madani.

Beliau berkata, ini bagi memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah tidak disisihkan daripada arus pembangunan, manakala kerajaan dan pihak swasta berperanan penting dalam memastikan lebih banyak perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dibina.

Bagi meningkatkan lagi daya huni bandar raya itu, Anwar berkata, kawasan lapang dan kawasan hijau di sekitar projek perumahan perlulah diwujudkan atau dikekalkan agar tidak hanya menjadi hutan kota, selain pemaju perlu mewujudkan pusat atau gerai penjaja yang sistematik bagi memudahkan rakyat.

"Saya nak satu anjakan besar bahawa dalam satu dua tahun orang tahu Kuala Lumpur terkenal dengan mercu tanda baik, hotel besar dan gerai yang bersih dan ada tahap keindahan," katanya.

Terdahulu, Anwar merasmikan majlis pecah tanah di kawasan seluas 1.4 hektar yang menyaksikan sebanyak 1,010 unit rumah mampu milik, iaitu Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani, bakal ditawarkan kepada kumpulan sasar M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman.
Artikel Berkaitan:


Turut hadir pada majlis itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.