Tukang jahit tak menang tangan terima tempahan tema merdeka

Penggunaan Jalur Gemilang untuk dibuat tudung, songkok, samping dan sebagainya tidak dibenarkan, namun penggunaan warna asas dan motifnya dibolehkan - Gambar hiasan 123RF
Penggunaan Jalur Gemilang untuk dibuat tudung, songkok, samping dan sebagainya tidak dibenarkan, namun penggunaan warna asas dan motifnya dibolehkan - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejak Jun, tukang jahit dari Raub, Pahang, Norhanis Azwani Hanapi, tidak menang tangan menerima tempahan untuk menyediakan pakaian rekaan sendiri bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

Norhanis, 35, berkata, antara tempahan terbanyak diterimanya sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini ialah untuk membuat gaun, baju kebaya dan baju Melayu dengan harga dikenakan bergantung kepada rekaan baju iaitu antara RM100 dan RM300.

"Selain daripada menjana pendapatan, menjahit adalah kepuasan. Bila kita tengok si pemakai mengenakan baju jahitan kita, memang rasa bangga dan nampak semangat ibu ayah yang menyokong anak-anak untuk memeriahkan Hari Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi.

Bermula dengan mempelajari jahitan menerusi YouTube sekitar 2018, Norhanis, seorang siswazah Universiti Utara Malaysia kemudiannya menyertai kursus jahitan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan kini mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu dan Tahap Dua.

Norhanis berkata beliau hanya akan menerima tempahan menggunakan kain berwarna bendera Malaysia iaitu merah, putih, biru dan kuning, dan menolak sebarang permintaan untuk menggunakan Jalur Gemilang.

"Kita tahu bendera Malaysia tidak boleh digunakan untuk menjahit sebarang pakaian dan saya hanya menggunakan kain bertemakan warna bendera sahaja,” katanya.

Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menerusi e-buku jabatan itu memaklumkan penggunaan Jalur Gemilang untuk dibuat tudung, songkok, samping dan sebagainya tidak dibenarkan kerana ditafsirkan sebagai merendahkan martabat bendera negara, namun penggunaan warna asas dan motifnya dibolehkan.

Bagi Nur Shazna Shamsudin pula, selain giat menyiapkan tempahan pakaian kemerdekaan, beliau juga menyediakan khidmat sewaan pakaian pada harga berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Nur Shazna, 38, telah mula menerima tempahan sejak Mei lepas antaranya tanjak, baju Melayu serta pakaian bertemakan klasik dan moden kontemporari.

"Rekaan baju kebangsaan paling unik yang saya sedang usahakan ialah jahitan mix design Melayu, Cina dan India dalam satu rekaan, iaitu konsep baju kurung, Ceongsam dan sari disekalikan,” kata ibu tunggal yang mula menjahit sejak 2015. - Bernama