'Jika UMNO tidak boleh diperbaiki, biarkan ia mati secara semula jadi'

Syed Ali - Foto Facebook Syed Ali
Syed Ali - Foto Facebook Syed Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas ahli UMNO berpandangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu 'kekal' sebagai Presiden UMNO dan kepimpinan parti Melayu itu perlu meneruskan perjuangan walaupun selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, mungkin hanya dengan cara itu, orang Melayu akan terus meninggalkan UMNO.

Beliau juga menyifatkan UMNO kini sudah tercalar dan berparut.

"...dan sekiranya (UMNO) tidak boleh diperbaiki lagi, biarkanlah parti itu mati secara semula jadi.

"Biasalah, dalam setiap pertandingan dan perlawanan hanya akan ada satu pemenang dan fitrahnya juga pasukan yang kuat dan mempunyai 'kapten' yang bagus serta disegani akan muncul sebagai juara, sebaliknya jika lemah inilah hasilnya," katanya dalam kemas kini di laman Facebook pada Selasa.

Pada PRN 12 Ogos lalu, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dengan dua kerusi di Selangor, Negeri Sembilan (14), Kelantan (satu); manakala dua di Pulau Pinang.

Lebih mengejutkan apabila kerusi yang disandang dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu di DUN Kijal dan Seberang Takir serta beberapa kubu kuat BN di Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Telemung, Batu Rakit, Bukit Besi, Air Putih dan Langkap turut tumbang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid juga kalah teruk apabila hanya menang 26 kerusi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, beliau terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan kerana melihat kepada suasana politik sekarang yang disifatkan sudah agak 'terlambat' bagi Presiden dan kepimpinan UMNO untuk meletak jawatan.

Sebaliknya, beliau berkata, kesemua mereka 'elok dikekalkan' bersama Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak wajar mana-mana pemimpin UMNO didesak supaya meletak jawatan berikutan kekalahan memalukan parti itu pada PRN15 baru-baru ini.

"Mereka pada hemat saya, perlu dikekalkan termasuk Presiden, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Negeri dan Ketua Bahagian termasuk ketua sayap parti," ujarnya.

Syed Ali menambah, membebankan mereka (kepimpinan UMNO) sebagai punca kekalahan parti pada PRN lalu adalah tidak adil dan sewajarnya semua ahli UMNO perlu bertanggungjawab atas keputusan yang telah mereka lakukan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan ahli parti yang setia mendukung kepimpinan Presiden UMNO tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak lain untuk menutup kelemahan parti yang sudah ditolak oleh majoriti orang Melayu.

Terdahulu, kekalahan teruk BN dalam PRN mengundang pelbagai reaksi daripada pemerhati politik dan ahli UMNO sendiri.

Ini termasuk daripada ahli MKT UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata, keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu lepas merupakan amaran akhir untuk kelangsungan politik UMNO dan parti itu perlu berubah.

Sementara, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, UMNO perlu mengkaji semula cara parti itu ditadbir.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menegaskan UMNO harus menilai keupayaan struktur sedia ada untuk menarik pengundi Melayu sebelum PRU16.

Hari ini, The Star melaporkan Ahmad Zahid sedar bahawa wujud gesaan terhadapnya supaya meletak jawatan dalam parti susulan prestasi UMNO yang dilihat tidak memuaskan dalam PRN, baru-baru ini.

Mengaku "bertanggungjawab sepenuhnya" atas apa yang terjadi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan sama ada mahu berundur diri atau tidak. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid takkan letak jawatan kalau UMNO kalah teruk - Khairy

Ahmad Zahid perlu letak jawatan - Idris

Ahmad Zahid tidak perlu letak jawatan - Puad

Jangan jadikan Ahmad Zahid 'kambing hitam' - Nur Jazlan

‘Ini bukan kali pertama Presiden UMNO didesak berundur’ - Ahmad Zahid