Elak sentimen 3R pelihara perpaduan, kedaulatan negara

Kok Seong - Foto Bernama
Kok Seong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pepatah ‘kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah’ menggambarkan tanpa perpaduan, Malaysia tidak mungkin dapat mengecapi nikmat kemerdekaan yang dicapai 66 tahun lepas.

Berdepan cabaran membentuk identiti nasional sebagai negara bermasyarakat majmuk, perpaduan adalah ramuan penting dalam pembinaan negara bangsa seterusnya bagi memelihara kedaulatan negara.

Namun, kehangatan isu 3R (bangsa, agama dan institusi diraja) yang kerap dibawa ke pentas politik Malaysia dilihat berupaya menggugat keharmonian dan kedaulatan tanah air sekiranya tidak dibendung.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Profesor Emeritus, Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keadaan semasa menyaksikan sentimen 3R berada pada tahap membimbangkan sehingga ada keperluan mendesak untuk mewujudkan perundangan bagi mengawasinya.

Beliau berkata, serangan yang dilakukan dalam konteks 3R ini, sama ada dalam komunikasi tertutup iaitu hanya dalam kalangan ahli sembang kelompok seperti dalam WhatsApp atau secara terbuka yakni ucapan di khalayak, mempunyai potensi konflik.

"Ia tidak boleh dibiarkan tanpa kawalan sehingga menjadi krisis, iaitu keadaan berbahaya yang tidak mudah dikawal lagi.

"Oleh itu, adalah sangat penting sesuatu serius dilakukan sekarang, iaitu penggubalan perundangan yang boleh mencegah penggunaan bahasa sehingga membangkitkan kemarahan. Syabas kepada kerajaan semasa yang memperlihat keazaman ke arah ini!” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kok Seong berkata, penggubalan perundangan itu penting untuk melindungi maruah manusia khususnya hak asasi manusia yang melarang sebarang penghinaan sesama manusia dan menjaga ketenteraman awam, iaitu tanpa ada rusuhan dan serangan terhadap kumpulan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, menerusi perundangan, rakyat akan dididik untuk menghormati pihak lain walaupun dalam keadaan tidak bersetuju dengan pandangan dan tindakan sesuatu pihak itu, dengan tidak boleh menyerangnya melalui penggunaan bahasa kasar.

"Perbezaan pandangan perlu dilangsaikan menerusi penghujahan tanpa menggunakan bahasa kesat. Inilah yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui penggubalan perundangan ini. Sebenarnya, banyak negara di dunia sudah menggubal perundangan begini.

"Ia juga dilakukan atas tuntutan kedaulatan negara, yakni sesebuah negara itu mampu mengawal apa yang berlaku dalam wilayah sempadannya, di samping perpaduan negara, iaitu hubungan baik antara kaum dan integrasi nasional, yakni hubungan mesra antara wilayah dalam negara,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed juga mengusulkan kerajaan meneruskan cadangan mewujudkan akta khusus bagi memastikan isu 3R dipelihara serta tidak dijadikan bahan provokasi yang boleh mengundang perpecahan dan menggugat keharmonian negara.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sebelum ini bersetuju untuk menyemak Akta Hasutan 1948 (Akta 15) bagi melindungi Institusi Raja-Raja namun akta berkenaan disifatkan terlalu meluas dan perlunya satu skop khusus untuk aspek 3R.

"Jika di Thailand, memang ada akta khusus mengenai kritikan terhadap Raja bagi mengangkat rasa hormat rakyat kepada institusi berkenaan.

"Sekiranya kita dapat wujudkan satu akta lebih terangkum mengenai 3R, ia akan memudahkan kerajaan untuk mengawal dan mengambil tindakan, selain pada masa sama mendidik masyarakat serta ahli politik untuk tidak menyentuh hal yang mengundang sensitiviti," katanya.

Mengambil kira keterbukaan media sosial yang menjadi platform pengguna melontarkan pandangan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM itu juga berkata, akta khusus 3R penting supaya masyarakat lebih berhati-hati dalam sebarang hantaran dan perkongsian.

"Dalam konteks sekarang, ada mempersoal mengenai kebebasan bersuara di negara ini yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan, namun kita perlu ingat kebebasan dimaksudkan bukan absolute dan ada had yang perlu difahami dengan jelas," katanya.

Seperti di Amerika Syarikat, Ahmad Martadha berkata negara itu menubuhkan agensi khusus untuk menangani elemen provokasi selepas berlakunya insiden tragik 11 Sept.

"Walaupun Amerika Syarikat dikatakan mempunyai kebebasan tanpa had dan kebebasan bersuara namun hakikatnya kebebasan bersuara itu adalah terhad. Mereka tidak bebas buat kenyataan yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.

"Sebab itu mana-mana anggota masyarakat yang mengeluarkan perkataan sensitif seperti bom, maka itu akan dianggap ancaman dan diambil tindakan," katanya.

‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, selari dengan tekad dan komitmen kerajaan membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Tema itu turut mendukung konsep Malaysia Madani sebagai kunci utama, yang diinspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan. - Bernama