Bom kereta Siti Kasim: Rakaman CCTV belum temukan petunjuk baharu

Polis mengesahkan objek yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik Siti Kasim dipercayai bom jenis Improvised Explosive Device (IED). Gambar kecil: Mohd Shuhaily
Polis mengesahkan objek yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik Siti Kasim dipercayai bom jenis Improvised Explosive Device (IED). Gambar kecil: Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kes penemuan bahan letupan yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik aktivis, Siti Zabedah Kasim atau dikenali Siti Kasim, 21 Julai lalu tidak menunjukkan ada suspek boleh disyaki setakat ini.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tiada sebarang petunjuk baharu yang ditemukan setakat ini berkaitan kes tersebut.

"Semakan CCTV setakat ini tidak menunjukkan kenderaan milik Siti Kasim telah didekati mana-mana individu yang boleh disyaki.

"Selain itu, tiada sebarang cap jari mana-mana individu disyaki ditemui pada kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur serta Pengerusi Perkep Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan dengan teliti.

"Siasatan masih diteruskan dan kes ini sama sekali tidak pernah ditutup, cumanya kita belum temui sebarang petunjuk baharu.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat, sila tampil dan salurkan kepada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, polis memaklumkan beberapa individu termasuk saksi di sekitar lokasi kejadian penemuan bom itu telah dirakam keterangan.

Pada 21 Julai lalu, polis mengesahkan objek yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik aktivis, Siti Kasim dipercayai bom jenis Improvised Explosive Device (IED).

Sebelum itu, Siti Kasim memuat naik secara langsung di Facebook peribadinya mendakwa terdapat objek menyerupai bom diletakkan pada keretanya.

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kereta, di Jalan Maarof, kira-kira jam 12 tengah hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Bom di kereta Siti Kasim boleh diletup menerusi kawalan jauh - Polis

Ada bahan boleh sebabkan kebakaran pada botol disyaki IED - Ayob Khan

Kes Siti Kasim: Suspek belajar buat bom di internet

Bom kereta Siti Kasim: Polis rakam keterangan 9 saksi

Objek bawah kereta Siti Kasim sah bom jenis IED

Objek seperti bom ditemui bawah kereta Siti Kasim