Objek bawah kereta Siti Kasim sah bom jenis IED

Polis mengesahkan objek yang dijumpai di tayar belakang kereta milik Siti Kasim dipercayai ialah bom IED.
Polis mengesahkan objek yang dijumpai di tayar belakang kereta milik Siti Kasim dipercayai ialah bom IED.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Objek yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik aktivis, Siti Zabedah Kasim atau dikenali Siti Kasim dipercayai ialah bom jenis Improvised Explosive Device (IED).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.38 tengah hari, Jumaat menyatakan ada objek menyerupai bom yang diletakkan bahagian tayar belakang kereta jenis Toyota Celica milik Siti Kasim.

Amihizam ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Jalan Maarof, Bangsar Kuala Lumpur pada Jumaat.
Amihizam ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Jalan Maarof, Bangsar Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurutnya, sejurus terima panggilan itu, pasukan polis telah menutup kawasan sekitar kenderaan yang mempunyai bahan letupan terbabit serta memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) dan pasukan bomba.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati dua botol plastik yang diletakkan di bahagian tayar belakang itu dipercayai bom jenis IED,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Jalan Maarof di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan pihak polis untuk mendapatkan pengesahan mengenai bahan letupan itu.

Katanya, IED itu berjaya dibawa keluar dan akan dihantar kepada pakar forensik untuk pengesahan yang lebih tepat.

“Siasatan terhadap mangsa (Siti Kasim) pula mengatakan dia berada di lokasi kejadian untuk servis keretanya sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan. Dia juga mendakwa ada menerima ancaman sebelum,” ujarnya.

Sebelum itu, Siti Kasim memuat naik secara langsung di Facebook peribadinya mendakwa terdapat objek menyerupai bom diletakkan pada keretanya.

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis kereta, di Jalan Maarof, kira-kira jam12 tengah hari, Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Objek seperti bom ditemui bawah kereta Siti Kasim