Bom di kereta Siti Kasim boleh diletup menerusi kawalan jauh - Polis

Bom buatan sendiri (IED) yang ditemui di bawah kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim pada 21 Julai lalu. Siti Kasim (kanan).
Bom buatan sendiri (IED) yang ditemui di bawah kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim pada 21 Julai lalu. Siti Kasim (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan polis mendapati diesel, kain, bahan mercun, bateri, litar, wayar dan suis antara bahan terkandung dalam dua botol bom buatan sendiri (IED) yang ditemui di bawah kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim di sebuah pusat servis kenderaan di Bangsar pada 21 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek yang terlibat dipercayai mempunyai ilmu dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan bahan-bahan yang didapati melibatkan mercun, bateri, diesel, kain dan wayar.

Menurutnya, analisis Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati IED berkenaan adalah bahan letupan yang aktif dan boleh diletupkan menerusi alat kawalan jauh.

"Pemeriksaan mendapati bahan letupan tersebut berada dalam keadaan suis switch off (mod tertutup).

"Suis manual itu perlu ditekan secara fizikal untuk mengakifkan bahan letupan itu dan boleh diletupkan menggunakan alat kawalan jauh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Katanya, petunjuk baharu berkaitan kes masih dikenal pasti untuk siasatan selanjutnya.

"Seramai 13 individu telah dirakam keterangan melibatkan mangsa, rakan-rakan, mekanik dan pengawal keselamatan kediaman mangsa yang mana kesemua mereka berumur antara 26 hingga 60 tahun.

"Siasatan secara terperinci masih dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Pada Jumaat, polis mengesahkan objek yang diletakkan pada tayar belakang kereta milik aktivis, Siti Kasim dipercayai ialah bom jenis Improvised Explosive Device (IED).

Sebelum itu, Siti Kasim memuat naik secara langsung di Facebook peribadinya mendakwa terdapat objek menyerupai bom diletakkan pada keretanya.

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis kereta, di Jalan Maarof, kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat.