Bom kereta Siti Kassim: Polis rakam keterangan 9 saksi

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Shuhaily)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Shuhaily)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan sembilan orang saksi bagi membantu siasatan berkaitan kes penemuan bom buatan sendiri di bahagian tayar kereta milik peguam, Siti Kasim di pusat servis kenderaan di Jalan Maarof, Bangsar di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) juga telah diperoleh bagi membantu siasatan.

"Pihak polis sedang membuat penelitian ke atas setiap CCTV melibatkan tempat yang dimaklumkan oleh mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kassim adalah bom jenis Improvised Explosive Device (IED).

Beliau dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan pihak Unit Pemusnah Bom (UPB).

Pada Jumaat lalu, Siti Kasim dalam siaran langsung Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kenderaan pada jam 12 tengah hari.