Dua rakan didakwa guna bahan letupan hadapan kedai haiwan

Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan menggunakan bahan letupan buatan sendiri di hadapan sebuah kedai haiwan eksotik, minggu lalu.
Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan menggunakan bahan letupan buatan sendiri di hadapan sebuah kedai haiwan eksotik, minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan menggunakan bahan letupan buatan sendiri di hadapan sebuah kedai haiwan eksotik, minggu lalu.

Pekerja bahagian logistik, Alex Lau Kwang Lee, 32, dan jurujual alat ganti telefon, Lai Meng Sien, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Nur Farahain Roslan.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama menyalahi undang-undang dengan berniat jahat menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang mungkin membahayakan nyawa atau kerosakan pada harta pemilik kedai haiwan itu, di Brickfields pada jam 5 pagi, 2 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dan melaporkan diri di pejabat polis terdekat sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Izhar Ahmad Azmi yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar mereka ditawarkan ikat jamin pada kadar yang munasabah.

“Alex telah berkahwin dan perlu menyara isteri serta empat anaknya sementara Meng Sien masih bujang, hanya bekerja di kedai telefon.

“Kedua-dua anak guam saya boleh hadir pada tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Farahain membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Rabu minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, pihak polis menyiasat satu kes letupan batang paip yang diubah suai dengan bahan letupan di Jalan Klang Lama sekitar jam 6 pagi, Selasa.