'Saya maafkan semua termasuk Saifuddin' - Sanusi

Muhammad Sanusi ketika berucap di Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah pada Ahad malam.
Muhammad Sanusi ketika berucap di Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah pada Ahad malam.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaafkan semua serangan yang bertubi-tubi kepada dirinya oleh pihak lawan sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, beliau turut memaafkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga memberi serangan kepadanya terutama dalam tempoh berkempen.

"Bagi pihak diri saya, Muhammad Sanusi Md Nor yang telah diserang bertubi-tubi, bertalu-talu tanpa henti, depan, belakang, atas, bawah, kiri, kanan dengan bermacam-macam fitnah dan serangan. Saya maafkan semua serangan itu.

"Tuan-tuan yang tersakiti, kalau tuan-tuan juga memaafkan, tuan-tuan boleh lafazkan sendiri, saya tak boleh wakilkan mungkin tuan-tuan tak maafkan Pudin (Saifuddin) saya tak tahu.

"Tapi saya bagi pihak saya, saya maafkan. kalau dia buat lagi, kita lawan lagi. Lepas tu kita tengok nak maafkan ka nak henyak (lawan)," katanya ketika berucap di Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, di sini pada Ahad malam.

Muhammad Sanusi dalam masa yang sama turut memohon maaf kepada sesiapa yang berasa tersinggung dengan PN sepanjang kempen pilihan raya selama dua minggu.

Katanya, permohonan maaf itu dibuat berdasarkan prinsip 'Ukhuwah Islamiyah' dan ajaran pemimpin kerohanian Islam.

"Saya bagi pihak seluruh jentera pilihan raya PN memohon ampun dan maaf kepada semua rakyat Kedah dan rakyat negeri lain yang mungkin tersinggung dengan kempen yang kita jalankan.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang kami tak sengaja, ada yang kami terpaksa, ada yang kami di provok dan ada ketikanya kami terlalu sakit untuk menahannya. Maka kami lepaskan supaya kamu turut rasa apa yang kami rasa," katanya.

Sementara itu, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN turut menggesa orang ramai supaya tidak mengejek pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional iaitu Datuk Mahfuz Omar, Datuk Dr Ismail Salleh dan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengalami kekalahan dalam pilihan raya.

"Ini selaras dengan nasihat bekas menteri besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak supaya jangan sekali-kali menghentam mereka yang sudah jatuh.

"Mari kita doakan mereka bersara secara aman, mereka gagal dalam pilihan raya Parlimen, mereka juga gagal dalam pilihan raya negeri. Sebenarnya ia bukan kegagalan peribadi mereka tetapi ia adalah kegagalan perjuangan mereka, orang Kedah tidak dapat menerimanya," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, PN berjaya mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN. Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi Pas bersama Bersatu akan terus menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.