Klip video lama tular bertujuan patahkan momentum PH-BN - Kok Yew

Tan Kok Yew, Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Tan Kok Yew, Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah klip video lama ucapan provokatif seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam dipercayai ditularkan dengan niat untuk mematahkan momentum Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam berkempen menjelang sehari lagi sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, beliau memberi penekanan dan pengulangan bahawa individu tersebut sedikit pun tidak mewakili akhlak dan pendirian DAP meskipun kesan klip video berjaya ditangani dengan pantas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau menegaskan, tindakan itu juga tidak mencerminkan sama sekali mana-mana ketelusan dan keikhlasan kerjasama murni di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun Setiausaha Agung DAP telah mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta merta, namun sikap provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat sedemikian adalah suatu budaya perlu dijauhi.

"Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sebenar-benarnya meraikan nilai-nilai yang baik dalam tadbir urusnya, apatah lagi bertekad untuk menyisihkan sikap-sikap politik kotor seperti ini,"katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, perjuangan dalam menyatukan bangsa manusia umpama peribahasa di dalam setandan pisang, pasti ada sebiji dua yang tidak boleh dimakan.

Tambahnya, sikap provokatif ini pastinya tidak boleh diterima oleh mana-mana warga Malaysia yang percaya dengan politik baharu kita bersama.

Kok Yew menyifatkan, cabaran-cabaran ini telah ditangani dengan baik untuk memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat terus berkekalan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, momentum kempen kini berada di dalam saat kritikal di mana kecenderungan rakyat ke arah PH-BN benar-benar jelas terasa.

Kok Yew berkata, seluruh jentera PH-BN perlu bersatu hati dan memperkukuhkan lagi kerjasama ini demi visi dan misi yang jauh lebih murni dalam mengekalkan kestabilan melalui perpaduan.

"Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani selama ini dikenali kerana berjuang menentang musuh pelampau. Adakalanya, perjuangan ini perlu ada daripada dalam juga," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan DAP menggantung serta-merta keahlian seorang ahli parti itu yang mengeluarkan kata-kata kesat menghina UMNO dan menyentuh isu sensitiviti agama ketika berucap dalam satu majlis seperti mana video yang ditularkan di media sosial.

Anthony Loke berkata, klip video itu memaparkan ucapan seorang ahli parti pada majlis makan malam anjuran sebuah cawangan DAP.