Anak mengadu sakit badan bongkar kelakuan penjaga di tadika

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Zaidi
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Zaidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Anak mengadu sakit di bahagian tubuh badan membawa kepada penemuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang penjaga mengasari kanak-kanak di sebuah tadika di Luyang dekat sini.

Kejadian yang turut tular di media sosial itu dilakukan oleh suspek wanita berusia 27 tahun terhadap seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya mengesan rakaman video membabitkan seorang kanak-kanak dikasari di sebuah tadika.

"Hasil siasatan mendapati, kedua ibu bapa dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia telah dikasari oleh penjaganya sehingga mengalami kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

"Ibu bapa mangsa kemudian telah pergi ke tadika terbabit dan melihat rakaman CCTV sebelum mendapati anak mereka telah dikasari oleh salah seorang penjaga di tadika berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, susulan kejadian itu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Penampang.

"Setakat ini, polis menerima tiga laporan polis iaitu daripada ibu mangsa, pengusaha tadika dan juga pengasuh iaitu suspek sendiri yang mendakwa telah dikasari oleh bapa mangsa.

"Mangsa dan suspek telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk pemeriksaan doktor.

Artikel Berkaitan:

"Dua kertas siasatan telah dibuka iaitu Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara satu tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, " katanya.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan video berdurasi dua minit 12 saat itu tular di aplikasi WhatsApp sejak Rabu.

Video itu memaparkan salah seorang individu dewasa dilihat sedang mengagihkan makanan namun bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan buku di tadika berkenaan.

Ibu kanak-kanak terbabit tidak dapat menahan kesedihan meraung selepas melihat keadaan anaknya yang dipukul.

ARTIKEL BERKAITAN : Ibu meraung lihat CCTV anak dipukul di taska