Kanak-kanak cedera dilanggar motosikal di depan sekolah

Tangkap layar rakaman dashcam memaparkan kanak-kanak lelaki dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di hadapan SK Padang Matsirat, Langkawi, pada Isnin.
Tangkap layar rakaman dashcam memaparkan kanak-kanak lelaki dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di hadapan SK Padang Matsirat, Langkawi, pada Isnin.
A
A
A

LANGKAWI - Seorang kanak-kanak lelaki yang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Matsirat, Langkawi, di sini, cedera selepas dilanggar sebuah motosikal pada Isnin.

Kejadian dirakam kira-kira jam 1.58 petang melalui kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) sebelum tular di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi 11 saat itu, mangsa didapati sedang melintas jalan dengan kakaknya sebelum dilanggar sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa memberhentikan kenderaannya di kiri bahu jalan untuk menghantar mangsa berusia sembilan tahun ke sekolah terbabit.

Beliau berkata, kakak mangsa yang berusia 14 tahun kemudiannya menemani dan memimpin kanak-kanak lelaki itu keluar dari kenderaan dan melintas jalan.

"Kemalangan berlaku apabila kanak-kanak terbabit dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Padang Matsirat ke arah Teriang.

"Akibat kemalangan, kanak-kanak itu terjatuh di atas jalan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Padang Matsirat oleh ibunya bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan dagu serta luka di siku tangan kanan akibat kemalangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Shariman menambah, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca dari mangsa melintas jalan bukan di lintasan pejalan kaki dan lampu isyarat pejalan kaki tidak berfungsi.

Beliau memaklumkan, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan penunggang motosikal sedang dikesan.