Sabah tubuh tabung simpanan peruntukan Persekutuan tidak digunakan

Masidi Manjun - Foto Bernama
Masidi Manjun - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu meluluskan usul Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 bagi menubuhkan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penubuhan tabung itu sebagai persediaan awal untuk meletakkan peruntukan tahunan kerajaan Persekutuan kepada Sabah yang tidak habis digunakan, sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju untuk tidak menarik balik baki peruntukan berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, tabung terbabit juga boleh memperoleh sumber kewangan antaranya daripada sumbangan atau caruman kerajaan negeri, agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

Katanya, Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri itu memainkan peranan membantu kerajaan negeri menjalankan program atau aktiviti tertentu terutama melibatkan luar jangka seperti membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam seperti banjir, kebakaran, ribut dan gempa bumi.

"Tabung itu juga untuk (menjalankan) program basmi kemiskinan, penyediaan kemudahan sosial seperti pembelajaran serta kesihatan, dan pembinaan serta penyelenggaraan jalan, cerun juga termasuk untuk fasiliti antaranya air dan elektrik serta pembangunan lain,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) ketika membahaskan usul itu berkata, langkah menubuhkan tabung khas bagi meletakkan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada Sabah yang tidak habis digunakan, memberikan kesan yang baik untuk negeri ini dan rakyatnya.

Menyokong penuh penubuhan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri itu, beliau berkata, secara asasnya segala peruntukan yang telah diumumkan dan disalurkan kepada Sabah, wajar diurus sendiri oleh Negeri di Bawah Bayu itu dan tidak seharusnya dipegang pihak lain.

"Rekod prestasi di negeri ini, projek pembangunan (diumumkan) bukan 100 peratus siap (pada tahun itu) mungkin 50, 60 atau 70 peratus hanya sebahagian peruntukan digunakan, (bakinya) simpan (semula di) Kementerian Kewangan (Persekutuan) ini membimbangkan kita.

Artikel Berkaitan:

"Perlunya peruntukan ini jika sudah disebutkan untuk kerajaan Sabah, jangan pula dipegang oleh Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan), biar negeri yang pegang, biar kita uruskannya untuk memastikan projek boleh dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie mencadangkan perlunya ada terma rujukan dalam agihan wang tabung itu antaranya peruntukan bencana hanya boleh digunakan untuk bantuan bencana, manakala peruntukan projek hanya untuk projek dimaksudkan, dan tidak boleh dicampur aduk.

Sementara itu, menggulung perbahasan usul itu, Masidi berkata, penubuhan tabung berkenaan melangkaui politik, yang dapat memastikan semua peruntukan pembangunan untuk Sabah dapat dikekalkan di dalam negeri itu seterusnya memberikan pembangunan dengan kadar tuntas untuk rakyat.

"Saya berterima kasih kepada semua, malah Senallang (Mohd Shafie) mahu bawa perkara ini ke Parlimen (selaku Ahli Parlimen Semporna) saya harap semua 25 Ahli Parlimen Sabah membawa satu suara nanti demi pembangunan Sabah, kita berbeza politik tetapi satu kita setuju, mahu Sabah maju,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah masih berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan baki peruntukan itu di negeri ini dan tidak dipulangkan, justeru sokongan daripada semua pihak terutama Ahli DUN dan Ahli Parlimen Sabah amat diperlukan dalam merealisasikan perkara itu.

Masidi menegaskan tiada agenda tersembunyi bagi menubuhkan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri dan satu-satunya agenda penubuhan tabung itu ialah memastikan kerajaan negeri mampu melaksanakan apa yang diperlukan rakyat tanpa dilengahkan.

"Kita terduduk bila duit habis terutama tiba hujung tahun jadi inilah gunanya (tabung itu) kita masih ada kewangan meringankan beban rakyat kita yang terjejas... kita rugi sebelum ini, umum peruntukan Sabah sampai RM5 bilion diguna RM4 bilion.

"Jadi kita rugi RM1 bilion setahun, lima tahun rugi RM5 bilion dan 10 tahun rugi sampai RM10 bilion untuk pembangunan tanpa tabung ini kerana prosedur kerajaan Persekutuan pulang balik baki peruntukan tidak digunakan,” katanya.

Usul itu kemudian diluluskan dengan undian suara terbanyak, sebelum Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya menangguhkan persidangan ke hari esok. - Bernama