Kerajaan rugi lebih RM500 juta projek 'land swap'

Mohamad pada sidang media Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mohamad pada sidang media Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) di lobi Parlimen di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hasil laporan Jawatankuasa Siasatan tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung pelaksanaan 13 daripada 16 projek ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah), Kementerian Pertahanan mendapati ada penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, hasil siasatan ke atas 16 projek tersebut, pihak JKSTUPKK mendapati bahawa anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta.

“Pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan, ini jelas apabila jawatankuasa siasatan mendapati penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan adalah jelas dalam kebanyakan kes ‘land swap’ membabitkan 13 daripada 16 kes.

“Siasatan juga mendapati terdapat penglibatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kem Bera, Kem Segamat, Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang iaitu berlakunya pemindahan pengundi sebelum PRU14,”katanya ketika membentangkan laporan akhir JKSTUPKK di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Mohamad, kesemua 16 projek ‘land swap’ tersebut melibatkan sebanyak 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan di antaranya telah dan akan dipindah milik.

“Tanah-tanah balasan yang terlibat membabitkan nilai sebanyak RM4.8 bilion mengikut penilaian Jabatan Penilaian Tanah dan Harta (JPPH) dan kos projek sebanyak RM4.9 bilion.

“Status projek-projek tersebut berada di pelbagai peringkat pelaksanaan iaitu lima projek telah siap sepenuhnya, satu projek gagal, dua projek sedang dalam pembinaan, satu projek telah ditandatangani, tiga projek masih belum ditandatangani dan empat projek telah mendapat kelulusan prinsip jemaah menteri kerajaan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang Presiden Amanah pada sidang media menjelaskan hasil siasatan ke atas 16 projek tersebut bahawa anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta disebabkan oleh penilaian tanah yang lebih rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, tanah kerajaan telah dipindah milik walapun projek balasan belum disiapkan sepenuhnya, campur tangan yang keterlaluan demi kepentingan politik juga telah menyumbang kepada kelemahan tadbir urus pelaksanaan projek ‘land swap’ di Kementerian Pertahanan, ketidakpatuhan dan ketidakakuran kepada terma-terma kontrak, peraturan-peraturan, standard operating procedures (SOP) kerajaan.

Mohamad pada sidang media Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mohamad pada sidang media Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) di lobi Parlimen di sini hari ini.

“Ketiadaan ‘due diligence’ yang komprehensif terutamanya keupayaan teknikal dan kewangan syarikat yang terlibat sehingga menyebabkan kelewatan atau kegagalan dalam projek dan tiada perancangan yang teliti oleh Kementerian Pertahanan dalam pelaksanaan projek menyebabkan objektif asal tidak tercapai sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, lanjutan daripada penemuan dan cadangan Jawatankuasa Siasatan beberapa tindakan telah diambil oleh Kementerian Pertahanan. Satu laporan berkaitan dua projek 'land Swap kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 21 Februari 2019 di kem tentera Hutan Melintang, Perak dan Paloh, Johor. Mohamad berkata,Kementerian Pertahanan juga telah mengemukakan permohonan penilaian semula bagi semua tanah-tanah balasan yang terlibat dengan projek penswastaan bagi membolehkan sebarang rundingan lanjut dan penetapan nilaian tanah balasan kelak memberi keuntungan kepada pihak kerajaan selaras dengan prinsip value for money.

“Untuk makluman, pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan secara penswastaan melalui kaedah ‘land swap’ merupakan salah satu inisiatif berasaskan kepada prinsip sesuatu projek pembangunan secara reka dan bina (design and build) dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta berdasarkan nilaian tanah semata-mata tanpa sokongan dan sumbangan kewangan oleh kerajaan. “Sebagai balasan, pihak swasta akan memperolehi sebidang tanah lain milik kerajaan setelah projek pembangunan yang dilaksanakan selesai dan diterima oleh Kerajaan. Dalam hal ini, tiada implikasi terhadap kewangan kerajaan dan risiko pembangunan adalah di bawah pihak swasta sepenuhnya sehingga projek pembangunan tersebut siap dan diserahkan kepada kerajaan,” katanya. Jelasnya, Kementerian Pertahanan telah mula melaksanakan pembangunan secara kaedah ‘land swap’ sejak tahun 1997 sehingga kini.

Bagaimanapun, ketika ditanya skandal tersebut mempunyai kaitan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjawat jawatan Perdana Menteri keempat, Mohamad berkata, penyelewengan tersebut berlaku selepas era pentadbirannya.

“Tidak ada, ia berlaku selepas itu (pentadbiran Dr Mahathir) ‘land swap’ mula diperkenalkan pada 1997 tapi yang berlaku (salah laku) kemudiannya dan kita akan memerhatikan siapa Perdana Menteri waktu itu,” jelasnya.

Ujarnya, pendekatan pelaksanaan secara ‘land swap’ ini dianggap salah satu opsyen yang terbaik oleh kerajaan terdahulu dalam usaha menampung keperluan peruntukan pembangunan yang tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak perancangan menaik taraf dan membina fasiliti ketenteraan.