Penganalisis politik sifatkan manifesto PN 'mampu dilakukan'

Manifesto PN Selangor disifatkan sebagai sesuatu yang 'mampu dilakukan' berdasarkan rekod terdahulu di bawah pentadbiran Mohamed Azmin. Gambar kecil: Sara
Manifesto PN Selangor disifatkan sebagai sesuatu yang 'mampu dilakukan' berdasarkan rekod terdahulu di bawah pentadbiran Mohamed Azmin. Gambar kecil: Sara
A
A
A

SHAH ALAM - Manifesto Perikatan Nasional (PN) Selangor disifatkan sebagai sesuatu yang 'mampu dilakukan' berdasarkan rekod terdahulu di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, ia susulan pengalaman Mohamed Azmin yang serba boleh.

“Selangor mempunyai persaingan sihat dari segi pengumuman manifesto pilihan raya negeri (PRN) di antara Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan PN.

“Bagaimanapun, konsep prihatin yang dikemukakan oleh PN lebih sinonim kerana ia dilaksanakan ketika rakyat berhadapan dengan kesusahan sewaktu pandemik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

PN Selangor menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sempena pilihan raya negeri (PRN) sebagaimana diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit, merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

Sara berkata, jika diteliti semula, kebanyakan manifesto itu merupakan kesinambungan dasar yang dibuat ketika pemerintahan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri.

Menurutnya, pengalaman menerusi Majlis Pemulihan Negara telah banyak membantu mengeluarkan tawaran yang mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat serta status pelaksanaan sesuatu program di setiap kementerian.

“Walaupun PN dilihat sebagai sebuah parti baharu namun berdasarkan pengalaman dan cabaran ketika mengambil alih tampuk pemerintahan PH pada krisis pandemik Covid-19 adalah suatu perkara yang tidak boleh dinafikan.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat boleh melihat kesinambungan polisi bagi setiap sektor masyarakat daripada golongan belia, ibu tunggal, komuniti berpendapatan rendah (B40) dan sebagainya,” ujarnya.

Pada masa sama, Sara memberitahu terdapat dua perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam membuat perbandingan manifesto antaranya pengalaman figura politik terhadap tadbir urus dan tawaran yang lebih baik serta mengambil kira faktor kos sara hidup semasa.

Katanya, corak pemikiran rakyat hendaklah setara dengan tahap negara membangun yang membahaskan hujahan politik sihat dari segi tawaran manifesto.

Jelas beliau, ideologi politik perlu diketepikan dan mengutamakan perkara yang mahu dicapai sebagai rakyat Malaysia sekali gus dapat membuat perbandingan terbaik sama ada sesebuah parti politik itu praktikal atau hanya menjanjikan bulan bintang sahaja.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!