Konflik AS, Israel terhadap Iran: Rakyat Malaysia terkandas di Madinah

SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia berkongsi keadaannya yang terkandas di Madinah akibat penerbangan dibatalkan susulan konflik terbaharu antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Menurut Megat Arjuna, dia antara jemaah umrah secara sendiri atau DIY yang belum dapat pulang ke tanah air mengikut jadual penerbangan ditetapkan sebelum ini.
"Kami antara jemaah umrah DIY, iaitu empat orang yang terkandas di bumi Madinah untuk pulang ke tanah air.
"Sepatutnya pulang 28 Februari tetapi penerbangan telah dibatalkan," katanya yang berkongsi keadaan terkini menerusi grup Facebook Forum Umrah DIY pada Ahad.
Kementerian Luar mengesahkan, rakyat Malaysia terkandas di beberapa negara akibat pembatalan penerbangan susulan konflik terbaharu di Asia Barat berada dalam keadaan selamat.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, perwakilan diplomatik ketika ini sedang menghulurkan bantuan atau sedang berhubung dengan mereka yang terlibat di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Memetik laporan The Sunday Guardian, peningkatan risiko keselamatan di ruang udara Asia Barat memaksa syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan, menggantung serta mengubah laluan penerbangan bagi mengelakkan zon konflik.
Justeru, Megat Arjuna memohon orang ramai mendoakan mereka, sekali gus berharap urusan mereka semua dipermudahkan.
Ringkasan AI
- Seorang rakyat Malaysia terkandas di Madinah akibat penerbangan dibatalkan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran
- Megat Arjuna merupakan antara jemaah umrah DIY yang belum dapat pulang mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan
- Empat orang jemaah umrah DIY sepatutnya pulang pada 28 Februari tetapi penerbangan telah dibatalkan
- Kementerian Luar mengesahkan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara akibat pembatalan penerbangan dalam keadaan selamat
- Perwakilan diplomatik Malaysia sedang menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

