Rakyat Malaysia di Bahrain kongsi detik cemas lihat letupan depan mata

SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia berkongsi detik mencemaskan apabila menyaksikan letupan berlaku di depan mata ketika serangan melanda kawasan kediamannya di Juffair, Bahrain, yang terletak berhampiran pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS), pada Sabtu.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita dikenali sebagai @haruko229 itu memaklumkan, suasana pagi berjalan seperti biasa apabila anak-anaknya mengikuti kelas agama Islam secara dalam talian pada jam 10.30 pagi.
Bagaimanapun, situasi berubah secara tiba-tiba apabila pada jam 11.15 pagi, siren kecemasan diaktifkan pada semua telefon bimbit dan kelas tersebut dibubarkan serta-merta.
"Pada jam 11.30 pagi, suami maklum pejabat dia telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP), manakala saya selesaikan kain baju untuk basuh tangan.
"Serangan pertama berlaku pada jam 11.38 pagi sehingga menyebabkan seluruh kawasan Juffair bergegar, saya sambung basuh baju, manakala anak-anak sudah berlari panik," kongsinya.
Menurutnya, tidak lama kemudian, mereka melihat dengan jelas letupan dari tingkap rumah mereka, sebelum suami menjerit meminta anak-anak menjauhkan diri dari tingkap.
"Anak-anak ketakutan, jadi saya bawa mereka masuk bilik untuk tenangkan dan mula mengemas barangan penting sebelum meninggalkan kawasan kediaman pada jam 12.13 tengah hari.
"Baju yang basuh itu tinggal begitu saja dalam bilik air," ujarnya lagi.
Kongsi Haruko, mereka tiba di pejabat suami pada jam 12.55 tengah hari sebelum menerima arahan daripada pihak sumber manusia untuk berpindah ke hotel dan selamat mendaftar masuk pada jam 1.12 tengah hari.
Menurutnya, lobi hotel ketika itu mula dipenuhi orang ramai yang turut mahu berlindung, manakala pasar raya sesak dengan orang awam yang membuat pembelian panik.
"Menjelang jam 5.30 petang, kebanyakan butik dan premis di pusat beli-belah ditutup serta-merta dan hanya pasar raya dibuka. Kami berbuka puasa pada jam 5.38 petang.
"Selepas waktu Maghrib, serangan bertubi-tubi kembali memenuhi ruang udara Bahrain dan terkini dilaporkan menyasarkan bangunan kediaman yang jauh dari pangkalan tentera laut," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan mereka sekeluarga dalam keadaan baik selepas kejadian terbabit, namun anak-anak masih ketakutan melihat peluru berpandu depan mata.
Tambahnya, ruang udara Bahrain masih ditutup, selain siren di telefon bimbit, kenderaan peronda dan pasukan bomba yang kerap kedengaran.
“Malam tadi hanya tidur ayam. Ada pegawai Kementerian Dalam Negeri datang beri taklimat, mereka sediakan bas ulang-alik untuk orang awam ke pusat perlindungan di bangunan sekolah. Pemindahan ini bukan paksaan dan makanan serta minuman disediakan.
"Bagaimanapun, kami untuk terus berada di hotel dan tidur di lobi bersama penduduk lain. Serangan dilaporkan berlaku lagi sekitar jam 2 pagi dan hampir waktu sahur, menyasarkan ke arah lapangan terbang, namun berjaya dipintas.
“Kami naik ke bilik, solat Subuh dan tidur sekejap. Pertama kali tidur dalam keadaan siap pakai tudung dan stokin,” katanya.
Kongsi wanita itu lagi, satu serangan lagi mengenai bangunan Crowne Plaza berhampiran kawasan diplomatik lebih kurang sejam lalu, disusuli serang kedua lima minit kemudian.
Dalam perkembangan sama, beliau sekeluarga berterima kasih atas doa orang ramai untuk keluarga mereka, malah ia amat bermakna buat mereka.
Ringkasan AI
- Seorang rakyat Malaysia dan keluarganya berada di Juffair, Bahrain ketika serangan terjadi dekat pangkalan tentera laut AS
- Situasi berubah apabila siren kecemasan diaktifkan dan kelas agama Islam dalam talian anak-anaknya dibubarkan
- Serangan pertama berlaku menyebabkan kawasan Juffair bergegar dan mereka melihat letupan dari tingkap rumah mereka
- Keluarga tersebut meninggalkan kawasan kediaman dan berlindung di sebuah hotel, tempat ramai orang lain juga mencari perlindungan
- Walaupun berada dalam keadaan selamat, anak-anak wanita itu masih ketakutan dan serangan terus berlaku, termasuk menyasarkan bangunan kediaman dan lapangan terbang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

