Irfan Khairi kongsi detik cemas letupan bom gegarkan kediamannya di Dubai

IRFAN KHAIRI
IRFAN KHAIRI
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan dan pempengaruh rakyat Malaysia yang kini menetap di Dubai, Noor Irfan Khairi Noor Azmi berkongsi detik cemas kediamannya bergegar akibat letupan bom susulan gelombang serangan balas Iran ke atas Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut usahawan yang mesra dengan panggilan Irfan Khairi itu, letupan sebanyak dua kali itu berlaku sebelum waktu berbuka di kediamannya yang terletak di bandar raya kosmopolitan serba mewah tersebut.

"Tadi saya ada buat video tentang serangan Iran terhadap UAE dan Dubai dan saya kata tidak bunyi atau dengar apa-apa. Sekarang ini saya hendak mengesahkan bahawa sebentar tadi sebelum berbuka puasa memang terdengar letupan bom yang tidak jauh dari rumah saya.

"Dan sebentar tadi baru jer dalam 10-20 minit yang lepas terdengar bom yang kedua sampai bergegar rumah saya. Jadi, sah memang terjadi sekarang ini serangan ke atas UAE.

"Saya ada ambil video tapi saya tidak boleh hendak muat naik lagi kerana di sini (Dubai) undang-undang sangat ketat. Selagi sesuatu berita itu tidak disahkan oleh kerajaan, tidak masuk media, lebih baik saya tidak tunjuk," katanya menerusi hantaran video di TikTok pada Sabtu.

AS dan Israel melancarkan siri serangan ke atas Iran pada Sabtu, termasuk Tehran, dengan laporan kemalangan orang awam.

Susulan itu, Iran telah melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel, serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Akibat serangan itu Ali Khamenei dan beberapa pegawai kanan negara itu dilaporkan meninggal dunia.

Sementara itu, Irfan Khairi yang telah hampir 10 tahun menetap di Dubai turut meminta rakyat Malaysia terus mendoakan agar keadaan kembali tenang.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Usahawan Malaysia, Noor Irfan Khairi, berkongsi pengalaman kediamannya di Dubai bergegar akibat letupan bom susulan serangan Iran
  • Letupan berlaku dua kali sebelum waktu berbuka puasa
  • Irfan Khairi tidak dapat muat naik video disebabkan undang-undang ketat di Dubai
  • AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, menyebabkan balasan dari Iran ke wilayah Israel dan kemudahan tentera AS
  • Irfan Khairi meminta doa untuk keamanan menyusul kejadian tersebut dan telah menetap di Dubai hampir 10 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!