Shafie bimbang berlaku ketirisan pengurusan bekalan air Sabah

Mohd Shafie ketika sidang akhbar di pekarangan DUN Sabah, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika sidang akhbar di pekarangan DUN Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan kebimbangannya jika berlaku ketirisan dalam pengurusan bekalan air termasuk membabitkan peruntukan yang disalurkan kepada kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu dalam masa sama mahu siasatan dilakukan secara mendalam berhubung isu penjualan air menerusi khidmat lori tangki swasta yang membekalkan air kepada pengguna di negeri ini.

"Kita tahu perbelanjaan beratus juta tetapi masalah dari segi pengurusan air kita dapati masih lagi jabatan air bergantung dengan pihak swasta untuk membekalkan air ke peringkat masyarakat.

"Kita kesal dari segi pengurusan pentadbiran bukan hanya jabatan tetapi juga dari segi pengurusan bahan bekalan air. Contohnya bekalan air tidak mencukupi di merata tempat tetapi ada pihak syarikat tertentu boleh mendapatkan bekalan air.

"Dari mana mereka mendapatkan air, sudah pasti bukan daripada pembekal konsesi yang ada kerana rakyat tidak boleh beli air. Jadi maknanya di samping itu perlu ada siasatan secara mendalam tentang perkara ini untuk kita melihat jika ketirisan berlaku bukan hanya dari segi kewangan yang disalurkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Warisan meminta siasatan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan bekalan air di negeri ini.

Dakwaan itu membabitkan penjualan air kepada pihak ketiga sehingga memaksa penduduk mendapatkan bekalan air terawat pada harga yang sangat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bercakap mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023 yang dibentangkan, Mohd Shafie memaklumkan isu bekalan air antara perkara yang diberi perhatian.

"Setelah mendengar dan meneliti, terdapat peningkatan bajet tambahan daripada RM600 juta kepada RM800 juta dan saya juga bertanya tentang masalah air yang merupakan masalah pokok kerana ia satu-satunya kepentingan masyarakat umum di negeri ini.

"Tetapi saya dengar Menteri Kewangan menjelaskan bahawa peruntukan yang telah dijanjikan kerajaan Persekutuan sebanyak RM320 juta itu belum lagi disalurkan.

"Cuma kerajaan Persekutuan telah mencadangkan supaya menggunakan duit kerajaan negeri Sabah dulu dan ini juga yang kita lihat bahawa ia berupa pinjaman bukan geran," katanya.

Sementara itu, ditanya adakah beliau bercadang untuk bertemu dengan Perdana Menteri untuk menggesa penyaluran peruntukan itu, Mohd Shafie memaklumkan bahawa biar kerajaan negeri yang tanganinya.

"Saya ingat bagi kerajaan negeri, mereka ada bidang landasannya. Kalau kerajaan negeri, Ketua Menteri pun minta berat, apa lagi kita ADUN biasa walaupun selaku Ketua Pembagkang.

"Tetapi saya akan bangkitkan bila bertemu dengan Perdana Menteri nanti," ujarnya.