Tuntutan kes sivil tak jejas kedudukan Sanusi

Laporan SInar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Nik Ahmad Kamal, Muhammad Fathi Yusof
Laporan SInar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Nik Ahmad Kamal, Muhammad Fathi Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Tuntutan saman dalam kes sivil atau ganti rugi oleh mana-mana individu tidak akan menjejaskan kedudukan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) walaupun kalah dalam kes berkenaan.

Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bagaimanapun berkata, wakil rakyat itu akan berdepan dengan kehilangan kerusi jika gagal membayar saman dan diisytiharkan bankrap.

Selain itu katanya, kedudukan mereka juga boleh tergugat jika berdepan dengan kes jenayah.

“Kelayakan ADUN hanya terlucut sekiranya mereka didapati bersalah dalam kes jenayah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atau lebih atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

“Dalam kes saman melibatkan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) oleh Tan Sri Vincent Tan dengan tuntutan RM200 juta, ia sebenarnya perkara biasa.

“Selalunya jumlah tuntutan yang dibuat adalah tinggi namun amaun sebenar yang layak akan ditentukan mahkamah atas pelbagai perkiraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang risiko kedudukan Menteri Besar Kedah itu jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti susulan banyak kes mahkamah dan tuntutan saman yang dihadapinya.

Terbaru, pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan mengemukakan saman terhadap Sanusi dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta, susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Muhammad Sanusi mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof turut senada dan menyatakan ia tidak akan memberikan kesan kepada Sanusi jika kembali bergelar sebagai ADUN.

Jelasnya, sekiranya melibatkan kes jenayah sekali pun, ia akan mengambil masa.

“Kes ini masih baharu dan akan akan melalui proses perbicaraan, keputusan dan seterusnya dua kali rayuan.

“Masih terlalu awal untuk melihat persoalan atau kedudukan beliau sebagai ADUN jika beliau menang dalam pilihan raya negeri ini kerana kes baharu sahaja bermula,” katanya.