Selangor kekal batalkan projek PJD Link

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor kekal dengan keputusan membatalkan projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) buat masa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia kerana syarikat pengendali projek itu masih lagi tidak dapat memenuhi syarat Penilaian Impak Sosial (SIA) projek berkenaan.

"Laporan yang diterima daripada pihak perancangan Malaysia dan Selangor memberitahu, (cadangan projek) tidak memenuhi isu yang dibangkitkan penduduk seperti soal kebisingan dan jarak binaan yang dekat dengan rumah.

"Perkara ini akan beri kesan kepada kualiti kehidupan masyarakat Petaling Jaya," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian selaku tetamu pada program podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

PJD Link merupakan projek pembinaan lebuh raya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 km yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil bagi menyuraikan kesesakan trafik.

Shahril terdahulu meminta Amirudin memberi pengesahan sama ada projek itu diteruskan atau tidak kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu pada minggu lalu memberi bayangan bahawa projek itu boleh diteruskan jika melepasi SIA.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan, kerajaan negeri sentiasa terbuka dan tidak menolak pelaksanaan mana-mana projek untuk kepentingan rakyat.

"Tapi respons daripada masyarakat, mereka khuatir projek ini akan menjejaskan kualiti hidup mereka kerana jajaran lebuh raya ini dekat dengan kawasan penempatan penduduk terutama di Seksyen 16 dan 17 Petaling Jaya," ujarnya.

Namun, Amirudin menjelaskan, kelulusan projek itu pastinya dipertimbangkan semula jika syarikat konsesi membuat perubahan jajaran kerana itulah pendirian kerajaan negeri.

Ditanya Khairy tentang apa alternatif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan jika tiada perubahan jajaran lebuh raya dibuat syarikat konsesi, Amirudin berkata, kerajaan negeri akhirnya akan kembali memperkasakan pengangkutan awam.

"Kita terpaksa menambah jumlah bas dan mikro mobiliti. Kita juga kena tambah jumlah laluan bas," jelasnya.