Lebih separuh rakyat Malaysia bimbang isu ketidaksamaan

Laporan tinjauan pandangan global terhadap isu kesamarataan mendapati 54 peratus rakyat Malaysia berpendapat ketidaksamaan adalah salah satu msalah penting di negara ini. (Gambar kecil: Azamat Ababakirov)
Laporan tinjauan pandangan global terhadap isu kesamarataan mendapati 54 peratus rakyat Malaysia berpendapat ketidaksamaan adalah salah satu msalah penting di negara ini. (Gambar kecil: Azamat Ababakirov)
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih separuh daripada rakyat Malaysia merasakan isu ketidaksamaan adalah kebimbangan atau masalah penting di negara ini yang perlu ditangani kerajaan.

Ia berdasarkan laporan berkaitan pandangan global terhadap isu kesamarataan yang dikeluarkan firma penyelidikan pasaran, Ipsos.

Pengurus Kajian Kanan Perhubungan Awam Ipsos, Azamat Ababakirov berkata, sebanyak 54 peratus rakyat Malaysia berpandangan bahawa ketidaksamaan merupakan salah satu masalah yang paling penting di negara ini.

Katanya, Malaysia berada di kedudukan keempat dari segi kebimbangan itu selepas Indonesia yang merekodkan 81 peratus, Thailand (71 peratus) dan Korea Selatan (64 peratus).

"Isu ketidaksamaan kekal ketara di Malaysia, terutamanya melibatkan kelompok masyarakat yang terpinggir seperti orang kurang upaya (OKU) fizikal dan mental, etnik minoriti dan golongan wanita yang berdepan diskriminasi.

"Golongan rentan seperti OKU mental dan fizikal, kaum wanita dan warga emas ini mendakwa lebih kerap berdepan dengan aspek ketidaksamaan berbanding golongan lebih muda, kaum lelaki dan mereka yang sihat tubuh badan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tinjauan pandangan global terhadap isu kesamarataan itu dilakukan secara dalam talian terhadap 26,259 orang dewasa yang berusia antara 16 hingga 74 tahun di 33 negara dalam tempoh 17 Februari hingga 3 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azamat memberitahu, ramai rakyat Malaysia bersetuju bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani layanan tidak adil yang menjadi punca kepada ketidaksamaan

"Mereka percaya usaha-usaha menangani ketidaksamaan perlu dilaksanakan oleh kerajaan yang merupakan pihak bertanggungjawab.

"Inisiatif individu untuk mengurangkan ketidaksamaan diakui, tetapi ia dianggap kurang memberi impak berbanding usaha kerajaan.

"Rumusannya, rakyat Malaysia percaya bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan kesamarataan dan keadilan dalam semua lapisan masyarakat, apabila mengambil kira kewujudan elemen ketidaksamaan yang tekal di negara ini," ujarnya.

Bagaimanapun, tinjuan itu juga mendapati hampir separuh daripada rakyat Malaysia percaya bahawa mereka hidup dalam masyarakat meritokratik, dengan kejayaan mereka bergantung kepada keupayaan dan usaha individu.

"Sebanyak 46 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa peluang orang ramai untuk berjaya bergantung kepada merit dan usaha mereka sendiri.

"Pandangan ini berbeza dengan pandangan satu perempat daripada penduduk Malaysia lain, yang percaya bahawa faktor-faktor di luar kawalan individu menentukan kejayaan," jelasnya lagi.