Bantu cukupkan keperluan Qaseh

Qaseh hanya terlantar selepas disahkan menghidap penyakit jantung dan paru-paru kronik sejak tiga tahun lalu.
Qaseh hanya terlantar selepas disahkan menghidap penyakit jantung dan paru-paru kronik sejak tiga tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - "Saya tidak minta lebih-lebih, tapi cukup keperluan anak dapat dipenuhi setiap bulan, itu saja pun cukuplah," luah Shahmiza Yaakob.

Wanita berusia 41 tahun itu tabah menjaga anak bongsunya, Nur Iman Qaseh Az Zahra Mohd Haiman, 11, selepas disahkan menghidap penyakit jantung dan paru-paru kronik serta bergantung pada bantuan pernafasan sejak tiga tahun lalu.

Dia mengakui tidak boleh bekerja seperti dahulu memandangkan anaknya yang mesra disapa Qaseh kini terlantar dan memerlukan penjagaan rapi daripadanya.

Menurutnya, disebabkan itu dia tiada sumber pendapatan sedangkan banyak keperluan Qaseh yang perlu dipenuhi pada setiap bulan.

"Kalau boleh saya memang nak bekerja, tapi tak boleh sebab saya kena jaga dia sepenuh masa. Ada ubatnya yang perlu dibancuh, jadi susah hendak tinggalkan dan tidak ada orang boleh ganti (jaga), kalau saya keluar bekerja.

"Dulu anak kedua saya (Mohamad Haizad Shahrilman) banyak bantu jaga Qaseh. Saya boleh berniaga di tepi jalan, tapi kini dia sudah berkahwin dan ada tanggungjawab," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kurnia di sini pada Isnin.

Shahmiza akui reda dengan keadaan Qaseh, namun memikirkan nasib kehidupan mereka sekeluarga selepas tidak mampu bekerja kerana anaknya memerlukan penjagaan rapi.
Shahmiza akui reda dengan keadaan Qaseh, namun memikirkan nasib kehidupan mereka sekeluarga selepas tidak mampu bekerja kerana anaknya memerlukan penjagaan rapi.

Selain Qaseh, Shahmiza juga mempunyai enam lagi anak berusia antara 24 hingga 11 tahun.

Menurut Shahmiza, kos untuk menguruskan Qaseh mencecah lebih RM1,000 sebulan.

"Untuk susu sahaja, saya kena sediakan RM200 untuk lima hari, itu belum kos lain seperti lampin pakai buang dan peralatan bagi alat bantuan pernafasan.

"Saya pernah tukar susu formula khas kepada susu biasa, bila tukar Qaseh tidak boleh terima dan muntah," ujarnya yang mengambil tempahan membuat popia simpul Qaseh bagi mencari pendapatan.

Shahmiza turut memaklumkan ada menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM500 daripada Pusat Zakat Pahang.

Bagaimanapun, dia berkata, bantuan diperoleh itu ada kala tidak mencukupi bagi membeli keperluan Qaseh.

Shahmiza memberi susu kepada Qaseh di rumahnya di Kampung Kurnia.
Shahmiza memberi susu kepada Qaseh di rumahnya di Kampung Kurnia.

"Memang saya akui, kadang-kadang terpaksa tebalkan muka, pinjam duit sana sini untuk memastikan bekalan susu Qaseh tidak terputus.

"Saya juga ada anak yang masih bersekolah dan semua itu memerlukan wang untuk perbelanjaan harian termasuk makan serta minum mereka," ujarnya.

Menceritakan semula insiden menimpa anaknya itu, Shahmiza berkata, Qaseh mula diserang sawan ketika tidur semasa berusia sembilan tahun.

Sewaktu kejadian, ibu tunggal itu berada di tempat kerja dan salah seorang anaknya membawa Qaseh ke klinik swasta berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi rawatan lanjut.

"Ketika di HTAA, doktor terpaksa tidurkan Qaseh dan lepas dua minggu doktor cakap dia tiada harapan pulih.

"Sejak daripada hari itu sehingga sekarang, dia hanya terlantar di katil khas dan menggunakan peralatan oksigen untuk bernafas," katanya yang gagal membawa Qaseh untuk temu janji doktor pakar di HTAA kerana mempunyai masalah pengangkutan dan hanya mengambil bekalan ubat.

Lebih menyulitkan apabila Shahmiza juga berdepan dengan tunggakan bil elektrik yang mencecah RM12,000 dan sudah beberapa kali menerima amaran supaya menjelaskan bil itu.

"Kalau (bekalan elektrik) kena potong, memang bermasalah untuk Qaseh kerana mesin digunakan itu memerlukan kuasa elektrik untuk berfungsi," ujarnya.

Shahmiza membelai Qaseh yang terlantar sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Kampung Kurnia.
Shahmiza membelai Qaseh yang terlantar sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Kampung Kurnia.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Shahmiza dan Qaseh boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0611241 1000 38077 atas nama Mohamad Haizad Shahrilman Mohd Haiman.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keperluan Qaseh pula boleh menghubungi talian 013-831 2023.