Goreng pisang atau ayam gulai?

A
A
A

YANG mana satukah tepat penggunaannya, sama ada ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’? Persoalan ini kadang-kadang sukar dijawab kerana kita sendiri pun kadang-kadang keliru dengan penggunaannya memandangkan kedua-duanya sering digunakan di mana-mana sahaja.

Tidak mustahil juga jika dikatakan penggunaan yang tidak tepat lebih kerap ditemukan oleh masyarakat berbanding yang tepat. Bukan persoalan tentang ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’ sahaja yang timbul, malah banyak lagi persoalan lain yang mungkin diajukan berkaitan aspek ini, seperti:

(i) ’ayam gulai’ atau ‘gulai ayam’

(ii) ’sos cili’ atau ‘cili sos’

Kesemua persoalan di atas berkaitan dengan Peraturan D-M (Hukum D-M). D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M).

Dalam peraturan atau hukum ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua.

Hal ini bermaksud bahawa perkara yang menjadi fokus utama disebut terlebih dahulu manakala unsur yang berfungsi menerangkan fokus utama hadir pada kedudukan kedua.

Sebagai contohnya, perkataan ‘kuda liar’. Unsur yang diterangkan dalam perkataan ini ialah ‘kuda’ kerana menjadi inti atau fokus utama. Manakala perkataan ‘liar’ hanyalah berfungsi untuk menerangkan tentang ‘kuda’. Hal ini demikian kerana perkara yang hendak difokuskan dalam frasa ini ialah ‘kuda’ dan bukannya ‘liar’.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan maka penggunaan perkataan yang tepat bagi ketiga-tiga persoalan di atas ialah:

(i) ‘pendingin hawa’ (kerana yang difokuskan ialah alat untuk mendinginkan hawa)

(ii) ’ayam gulai’ (kerana yang difokuskan ialah ayam yang digulai)

(iii) ’sos cili’ (kerana yang difokuskan ialah bahan cecair atau pekat digunakan untuk menyedapkan makanan serta diperbuat daripada cili)

(iv) ‘pisang goreng’ (kerana yang difokuskan ialah pisang yang digoreng)

Namun demikian, perkataan ‘gulai ayam’, ‘cili sos’ dan ‘pisang goreng’ masih boleh digunakan tetapi membawa maksud yang berbeza. Sebagai contohnya:

(i) ’gulai ayam’ (menunjukkan perbuatan menggulai ayam)

(ii) ’cili sos’ (menunjukkan sejenis cili yang digunakan untuk membuat sos)

(iii) ‘goreng pisang’ (menunjukkan perbuatan menggoreng pisang)

Penggunaan bahasa Melayu yang melanggar Peraturan D-M ini terjadi salah satunya disebabkan pengaruh daripada bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, unsur yang menerangkan hadir pada kedudukan pertama manakala unsur yang diterangkan hadir pada kedudukan kedua. Sebagai contohnya:

(i) 'cable car’

(ii) 'blue chip’

(iii) 'red tape’

(iv) 'black market’

(v) 'Malay States’

Beberapa pelanggaran Hukum D-M telah dapat dilihat di beberapa tempat khususnya di papan-papan tanda serta dalam beberapa penggunaan bahasa harian. Sebagai contohnya:

(i) Hairil Azwan Syarikat Pembinaan (sepatutnya Syarikat Pembinaan Hairil Azwan)

(ii) Wan Amiruddin Restoran (sepatutnya Restoran Wan Amiruddin)

(iii) Maju Kedai Kek dan Roti (sepatutnya Kedai Kek dan Roti Maju)

(iv) Tenggara Asia (sepatutnya Asia Tenggara)

(v) Militari Polis (sepatutnya Polis Militari)

(vi) lain-lain hal (sepatutnya hal-hal lain)

Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Peraturan D-M?

(i) 'ayam telur’ atau ‘telur ayam’?

(ii) 'biru laut’ atau ‘laut biru’?

(iii) 'delima merah’ atau ‘merah delima’?

(iv) 'daging lembu’ atau ‘lembu daging’?

(v) 'anak baju’ atau ‘baju anak’?

Kedua-dua pilihan dalam kesemua contoh di atas boleh digunakan tetapi bergantung kepada unsur inti yang hendak diterangkan. Sebagai contohnya ‘ayam telur’ merujuk sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala ‘telur ayam’ merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain tersebut.

Namun demikian, terdapat beberapa kekecualian Peraturan D-M, iaitu sesuatu yang berfungsi untuk menerangkan (M) mendahului sesuatu unsur yang diterangkan (D). Hal ini demikian berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, nama-nama jawatan, gelaran dan penjodoh bilangan. Sebagai contohnya:

(i) perdana(M) menteri(D)

(ii) ibu(M) pejabat(D)

(iii) Haji(M) Azaman(D)

(iv) timbalan(M) pengarah(D)

(v) lima ekor(M) lembu(D)

Sebagai penutup bicara, dapatlah disimpulkan bahawa kita semua perlu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul. Kita tidak boleh memandang mudah dalam aspek penggunaan bahasa Melayu kerana kadangkala akan menimbulkan salah faham dalam berkomunikasi. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Muhammad Daud ialah Munsyi Dewan (Bahasa) SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka