Cerita rumah tangga sendiri pun sanggup dijadikan 'content'

Video yang dimuat naik seorang pempengaruh atau influencer tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. - Foto media sosial
Video yang dimuat naik seorang pempengaruh atau influencer tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. - Foto media sosial
A
A
A

MERAK Jalanan geleng kepala selepas menonton satu video yang dimuat naik seorang pempengaruh atau influencer di media sosial.

Terus terang, Merak Jalanan tak berapa kenal sangat dengan dia, tapi videonya baru-baru ini menjadi tular sehingga Merak Jalanan terjebak menjadi salah seorang penontonnya.

Video tersebut memaparkan situasi isteri pempengaruh itu yang menangis sayu selepas mereka berdua selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di rumah. Sebabnya, lagi tiga jam si suami itu akan bernikah dengan seorang lagi wanita. Dengan erti kata lain, isterinya itu bakal bermadu.

Pempengaruh itu pula seolah-olah bangga nak ‘mencanang’ satu dunia yang dia mendapat restu berkahwin lagi satu.

Merak Jalanan bukan nak cerita pasal poligami, atau membantah orang kahwin dua. Itu hak masing-masing, malah tiada siapa boleh mempertikai hukum syarak membenarkan lelaki kahwin lebih daripada satu, asalkan jangan lebih empat.

Cuma dalam fikiran Merak Jalanan, bagaimana zaman sekarang ini semakin ramai orang berani dan sanggup membuka cerita rumah tangga sendiri demi content di media sosial.

Tak pasti orang lain macam mana, tapi Merak Jalanan sendiri rasa malu menonton video tersebut. Malah, netizen di media sosial pun ramai yang meluat dengan content tersebut sehingga ada menjadikannya sebagai parodi.

Merak Jalanan juga terfikir, bagaimana pula perasaan ahli keluarga pempengaruh itu dan kedua-dua isterinya apabila menonton video tersebut. Sudah tentu mereka juga berasa malu.

Artikel Berkaitan:

Nasihat Merak Jalanan kepada pempengaruh atau sesiapa sahaja yang mempunyai akaun di media sosial, tak salah untuk membuat content tetapi berpada-padalah.

Takkan cerita dalam selimut sendiri pun nak bagi tahu satu dunia.