Isu 3R: Saifuddin nasihat jangan 'play victim' jika diambil tindakan

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Pemimpin Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan supaya tidak bersikap 'play victim' sekiranya diambil tindakan oleh polis sekiranya memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) sepanjang berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sudah berulang kali diingatkan oleh institusi raja dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain agar semua parti yang bertanding tidak menggunakan isu 3R sepanjang tempoh berkempen.

"Apabila diambil tindakan, dia kata dia menjadi mangsa. Dia kata di Malaysia sudah tiada kebebasan bersuara.

"Jadi sekali lagi kita mengulangi supaya tak perlu menyentuh perkara-perkara yang telah diberi peringatan berulang kali sama ada oleh pihak berkuasa atau institusi raja-raja," katanya pada sidang media ketika Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang di sini pada malam Khamis.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu 3R dalam satu program di Kapar, Selangor dikenal pasti sebagai kes berprofil tinggi.

Ini kerana kata beliau, Muhyiddn telah menyentuh kes mahkamah membabitkan penggunaan kalimah ALLAH.

"Sultan Selangor sebelum ini sudah menitahkan supaya isu terbabit tidak dibahaskan sehingga ia dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR), namun Muhyiddin didapati telah ingkar kepada titah Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

"Itu boleh dinilai oleh rakyat, kalaulah nasihat Tuanku pun tak boleh nak patuh, nasihat siapa lagi?" katanya.

Sebelum ini, satu portal melaporkan, Muhyiddin mendakwa Kerajaan Perpaduan sebenarnya ditadbir 'orang bukan Melayu' susulan tiada rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah ALLAH.

Ketika menggalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin turut mendakwa menerima tekanan daripada DAP untuk tidak mengemukakan rayuan.

Pada Mei lalu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menasihati pemprotes supaya tidak melakukan khianat terhadap bahan kempen seperti papan iklan sepanjang tempoh berkempen ini.

Beliau yang kesal dengan insiden tersebut berkata, isu terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat lebih terdidik serta berpengetahuan berbanding politik tahun 60-an atau 70-an.

"Oleh itu, saya menasihatkan semua pemprotes tidak lagi mengulangi perbuatan mereka itu kerana ia tidak bagus untuk budaya politik yang baru dalam negara kita sekarang ini," tambahnya.