PRN: PM ulang peringatan isu kalimah ALLAH

Anwar berucap pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan bersama Perdana Menteri di Taman Ampangan, Seremban malam ini. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan bersama Perdana Menteri di Taman Ampangan, Seremban malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi peringatan kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan isu kalimah ALLAH sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ia susulan pertemuan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang berpesan kepadanya mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, Baginda memaklumkan isu berkenaan akan diperkemaskan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akhir bulan ini sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

"Raja-Raja Melayu (titah) jangan jadikan isu kalimah ALLAH sebagai politik. Ia akan diperkemaskan atas cadangan Kerajaan Persekutuan.

"(Namun) Apa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata, masih gunakan isu kalimah ALLAH, mereka ini soal lawan raja terus terang," katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berceramah di Kapar, Klang mendakwa isu kalimah ALLAH menunjukkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui oleh bukan Islam.

Susulan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menyifatkan Muhyiddin sebagai tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja dan tidak menghiraukan larangan pihak berkuasa supaya semua ahli politik tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada PRN kali ini.

Sementara itu Anwar berkata, sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan menerusi PRN akan memperkuatkan Kerajaan Perpaduan termasuk di Negeri Sembilan.

“Dengan kemenangan akan perkuatkan Kerajaan Perpaduan, Negeri Sembilan dan rekod Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar antara yang baik dan kita harus berikan sokongan kepada beliau,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!