DAP gesa Muhyiddin disiasat isu kalimah ALLAH

Syerleena (dua dari kiri) dan Rayer (kanan) menunjukkan salinan laporan polis dan salinan laporan sebuah portal yang melaporkan mengenai dakwaan Muhyiddin mengenai kalimah ALLAH.
Syerleena (dua dari kiri) dan Rayer (kanan) menunjukkan salinan laporan polis dan salinan laporan sebuah portal yang melaporkan mengenai dakwaan Muhyiddin mengenai kalimah ALLAH.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis digesa untuk menyiasat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan ucapannya yang menyentuh mengenai 3R (bangsa, agama dan raja) dalam satu ceramah pilihan raya negeri (PRN) pada malam Ahad.

Dalam ceramah di Kapar, Klang itu, Muhyiddin mendakwa, isu kalimah ALLAH menunjukkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui oleh bukan Islam.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, dakwaan Muhyiddin itu disifatkan sebagai tidak masuk akal dan tidak berasas.

Susulan daripada itu, beliau telah membuat satu laporan polis agar satu siasatan boleh dibuat terhadap Muhyiddin dengan segera.

"Kenyataan Muhyiddin jelas telah melanggar amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain agar semua parti politik tidak menggunakan isu 3R dalam setiap ceramah ketika berkempen untuk PRN.

"Selain itu, Muhyiddin sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dan PN tidak akan memainkan isu tersebut, tetapi semalam (Ahad), beliau sendiri mengeluarkan kenyataan berhubung kalimah ALLAH dalam ceramahnya," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Isnin.

Kata Syerleena, tindakan Muhyiddin itu jelas menunjukkan pemimpin tertinggi PN itu hipokrit dan tidak sensitif dengan isu 3R.

"Ini adalah satu perilaku hipokrit PN apabila mereka sendiri menggunakan isu 3R untuk PRN yang berlangsung ketika ini. Niat mereka, tidak lain tidak bukan untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan dalam kalangan pengundi terhadap PH.

"Saya merasakan perkara ini tidak boleh dibiarkan dan oleh itu, saya telah membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Undang-undang DAP, RSN Rayer berkata, kenyataan Muhyiddin itu jelas dibuat untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu untuk terus mengundi PH.

Katanya, Muhyiddin juga didakwa sengaja mengeluarkan kenyataan palsu itu untuk meracuni pemikiran pengundi di keenam-enam negeri yang menghadapi PRN ketika ini.

"Di dalam satu portal, ia melaporkan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas berhubung isu kalimah ALLAH. Ini jelas, kenyataan ini berniat jahat dan ia merupakan satu kesalahan serius.

"PN menggunakan taktik kotor dengan menggunakan isu-isu sensitif seperti kaum dan agama ketika berkempen. Kita tidak akan terikut-ikut dengan mereka, kita bersih dan tidak sesekali akan menggunakan taktik kotor seperti mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir berkata, pihaknya mengecam tindakan Muhyiddin yang jelas telah kekeringan idea untuk berceramah ketika berkempen untuk PRN ini.

Menurutnya, pengundi terutamanya orang Melayu kini mempunyai maklumat sahih dan tidak akan mudah terpedaya dengan agenda murahan PN.

"Saya mohon semua parti politik di keenam-enam negeri terus fokus dengan apa yang hendak ditawarkan kepada rakyat. Kempen menakut-nakutkan ini jelas mereka (PN) sudah kekeringan idea.

"Mereka kembali kepada taktik lama iaitu menakut-nakutkan untuk memberi satu keadaan bahawa orang Melayu tersisih jika PH memerintah. Saya ingin mengingatkan PN, jangan ingat orang Melayu bodoh dan tidak berpelajaran.

"Mereka ini ada maklumat dan tidak akan mudah terpedaya atau terikut-ikut dengan agenda murahan yang disebarkan PN," katanya.

Satu portal melaporkan, Muhyiddin mendakwa Kerajaan Perpaduan sebenarnya ditadbir 'orang bukan Melayu' susulan tiada rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah ALLAH.

Muhyiddin berkata, ketika menggalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau mendakwa menerima tekanan daripada DAP untuk tidak mengemukakan rayuan.

Mei lalu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.

Antara lain, notis itu menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!