Remaja keperluan khas, bapa saman sekolah swasta kerana cuai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki berkeperluan khas warga Syria dan bapanya memfailkan saman terhadap sebuah sekolah swasta antarabangsa di Mont Kiara di sini kerana cuai sehingga menyebabkan seorang pelajar di sekolah itu menganiaya remaja berkenaan.

Remaja berusia 14 tahun itu, yang disahkan menghidap Sindrom Cohen, Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD), Gangguan Hiperaktif dan Kurang Perhatian (ADHD), masalah gastrousus serta asma, dan bapanya yang berumur 60 tahun, memfailkan writ saman terhadap pengendali sekolah itu di Mahkamah Sesyen di sini, tahun lepas.

Menurut pernyataan tuntutan, mereka mendakwa sekolah pendidikan khas itu cuai semasa budak lelaki itu belajar di situ dari 3 Oktober hingga 7 November 2021, dan mendakwa pada minggu pertama, budak lelaki tersebut teruja untuk ke sekolah dan tingkah lakunya positif di rumah. Kelas remaja itu hanya mempunyai dua atau tiga orang pelajar.

Plaintif mendakwa kira-kira 10 hari selepas belajar di sekolah itu, berlaku perubahan pada remaja tersebut termasuk kulit jari dan tapak kakinya kerap mengelupas serta degil selain mula memekik dan menjerit meniru kanak-kanak lain di sekolah tersebut.

Mereka juga mendakwa jumlah pelajar dalam kelas remaja itu meningkat kepada enam atau tujuh orang.

Plaintif mendakwa remaja itu juga dipukul oleh seorang rakan sekelas kira-kira 1.40 tengah hari pada 8 November 2021, namun wakil sekolah itu mendakwa, budak itu lebam akibat perbuatannya sendirinya dan turut memukul rakan sekelas serta menghantuk kepalanya sendiri ke dinding kelas.

Bapa pelajar itu mendakwa wakil sekolah tersebut menggambarkan remaja itu dengan cara yang menghina dan merendahkan seperti 'haiwan'.

Susulan itu, pihak sekolah secara rasmi mengeluarkan budak lelaki itu dari sekolah tersebut dan laporan polis dibuat terhadap sekolah itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 16 November 2021.

Bapa dan anaknya itu menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, serta pengisytiharan bahawa sekolah pendidikan khas itu telah melanggar kewajipan penjagaannya.

Perbicaraan saman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Halilah Suboh esok. - Bernama