Pandu Lamborghini secara melulu, polis buka kertas siasatan

Tangkap layar video yang memaparkan lima kenderaan mewah dikatakan dipandu secara melulu dan membahayakan.
Tangkap layar video yang memaparkan lima kenderaan mewah dikatakan dipandu secara melulu dan membahayakan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis membuka kertas siasatan terhadap kesemua lima suspek yang didapati memandu kereta mewah jenis Lamborghini secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru, Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, polis juga sudah memanggil kesemua pemandu kereta mewah berkenaan bagi memberikan keterangan berhubung perkara berkenaan.

“Kita dah panggil mereka untuk beri keterangan dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan (Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987).

“Kita juga dah jalankan urine test (ujian air kencing) dan kesemua suspek didapati negatif... namun yang penting di sini, kita memang galakkan (orang luar) datang ke Johor, tapi kena berdisiplin. Ikut peraturan.

“Kalau tak ikut peraturan, boleh jadi benda-benda macam ni... sepatutnya boleh berjalan lancar, berkelah, berehat, tapi bila jadi macam ni ia memang mengganggu,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Daerah (IPD), Iskandar Puteri, pada Isnin.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika mengulas mengenai video mengenai lima kenderaan mewah jenis Lamborghini yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini.

Video berdurasi 71 saat itu yang dimuat naik di laman sosial memaparkan lima kereta mewah jenis Lamborghini yang dipandu dalam keadaan berbahaya termasuk memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Aksi memandu secara berbahaya itu didapati dilakukan di Lebuhraya Senai-Desaru dan pergerakan kenderaan-kenderaan terbabit difahamkan dari Senai menghala ke Bandar Penawar kerana terlibat dalam satu program di sana.

Sementara itu Kamarul Zaman berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang luar ke Johor, tetapi perlu berdisiplin dan mengikut peraturan sedia ada ketika memandu di jalan raya.

Katanya, ini disebabkan kesemua kereta dah ada dashcam (kamera papan pemuka) yang merakam perbuatan kita.

“Di setiap jalan, kenderaan dah ada CCTV, jadi kena ikut peraturan kalau tak ikut, boleh jadi benda-benda macam ni akan dihighlightkan atau ditularkan.

“Oleh itu kesemua pengguna jalan raya diminta sentiasa berhati-hati selain berdisiplin ketika berada di jalan raya,” katanya.