Kurang hakim punca kes jenayah seksual kanak-kanak lambat selesai

Azalina (dua dari kanan) mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini. - Foto Bernama
Azalina (dua dari kanan) mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kekurangan hakim Mahkamah Sesyen di negara ini menjadi antara punca banyak kes jenayah seksual kanak-kanak tidak dapat diselesaikan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana hakim sedia ada juga perlu menyelesaikan kes-kes lain dan bukannya melibatkan kanak-kanak sahaja.

"Kerajaan telah menyediakan beberapa sistem yang canggih terutama bila saya pergi bilik pensaksian, bilik khas, alat bantu beri keterangan dan patung anatomi semuanya nampak begitu canggih.

"Tapi masalahnya hakim-hakim ini terpaksa juga kendalikan kes lain dan sebenarnya itu cabaran paling besar," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Seremban di sini pada Isnin.

Menurutnya, pihak mahkamah turut berdepan cabaran untuk menyelesaikan kes berkaitan disebabkan faktor saksi, penyediaan laporan pakar dan permohonan penangguhan oleh peguam.

Tambahnya, ada juga mangsa terpaksa membuat keputusan untuk menarik balik kes disebabkan masalah membabitkan soal saksi.

"Kajian menunjukkan setakat hari ini terdapat sebanyak 6,791 kes penganiayaan jenayah seksual kanak-kanak di seluruh negara dengan kes tertinggi di Kelantan 1,097 kes.

"Setakat ini, secara keseluruhan kadar pelupusan kes jenayah seksual kanak-kanak adalah 72.6 peratus," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan Mahkamah Bergerak di seluruh negara bagi memastikan kes demikian dapat didengar dan diselesaikan dengan cepat.

Tambah beliau, kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta untuk menarik taraf 40 buah Mahkamah Sesyen untuk kemudahan fasiliti yang lebih canggih berkaitan kes jenayah seksual kanak-kanak.

Dalam pada itu, rang undang-undang khusus untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak di negara ini akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober depan bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

"Saya harap sesi parlimen Kerajaan Madani dapat membawa inisiatif dan mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas.

"Kertas kerja ini telah sedia ada dan kita akan bawa ke kabinet dalam masa terdekat dengan harapan kelulusan dari segi dasar dan kewujudan rang undang-undang tersebut," katanya.

Azlina berkata, Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan diwujudkan di negara ini perlu bersifat bebas dan tidak lagi diletakkan di bawah kementerian atau agensi kerajaan termasuk di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Dengan adanya Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas ia dapat membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyelesaikan kes mahkamah jenayah seksual kanak-kanak," katanya.