Pembangunan di Sandakan fokus industri kayu

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembangunan di Sandakan akan memfokuskan kepada industri pembuatan berasaskan kayu bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Katanya bagi mencapai hasrat itu, sebuah kilang perabot perlu dibangunkan di daerah ini apatah lagi Sandakan kaya dengan sumber kayunya.

“Mendiang Datuk Stephen Wong menyuarakan dengan lantang mesti ada kilang perabot dibina di sini (Sandakan).

"Kita tidak eksport kayu balak seperti kerajaan dahulu, kalau kita eksport kayu balak ada orang tertentu yang untung. Kalau kita tidak eksport, rakyat akan ada pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee dan Penasihat DAP Lim Kit Siang di Pasar Umum, di sini hari ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan Presiden Warisan berkata Sandakan turut mempunyai Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) yang perlu dimanfaatkan dan berpotensi untuk dimajukan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata sistem perniagaan tukar barang (barter trade) antara Sabah dan negara jiran Filipina akan mula beroperasi tidak lama lagi.

Jelasnya beberapa perkara perlu diselesaikan termasuk mengikut peraturan sistem tukar barang antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Shafie berkata Sandakan mempunyai produk pelancongan dan peruntukan untuk membesarkan Lapangan Terbang Sandakan akan mampu menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

"Kita yakin ini merupakan hala tuju daerah Sandakan untuk meningkatkan kehidupan rakyat dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, mengulas tempoh berkempen yang berbaki tiga hari lagi, beliau berkata sambutan amat menggalakkan dan akan terus turun sehingga ke akar umbi untuk berceramah supaya pengundi mengetahui tentang usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan.

"Kita akan jelaskan beberapa isu berkisar lontaran pihak pembangkang dan saya yakin pengundi di Sandakan mempunyai pendirian tegas dan tidak mudah diperalatkan," katanya. - Bernama