Selangor Job Fair tawar 10,000 peluang pekerjaan

Pengunjung yang hadir pada Selangor Job Fair 2023 pada Sabtu.
Pengunjung yang hadir pada Selangor Job Fair 2023 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Selangor Mega Job Fair 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada Sabtu dan Ahad ini.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, lebih 100 majikan terdiri syarikat swasta dan kerajaan selain unit beruniform dan berkanun menyertai program kali ini.

Mohd Khairuddin (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir di Selangor Job Fair 2023 pada Sabtu.
Mohd Khairuddin (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir di Selangor Job Fair 2023 pada Sabtu.

Menurutnya, pameran bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu turut menawarkan peluang kerjaya kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

"Platform ini sebagai membuka peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan sekolah, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), universiti dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Program selama dua hari ini dijangka menerima seramai 15,000 pengunjung terutama mereka yang sedang mencari pekerjaan," katanya pada sesi walkabout Selangor Mega Job Fair 2023 di sini pada Sabtu.

Mohd Khairuddin (kanan) meninjau program Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada Sabtu.
Mohd Khairuddin (kanan) meninjau program Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen MBSA pada Sabtu.

Beliau berkata, Selangor Mega Job Fair ini menjadi program tetap kerajaan negeri di bawah portfolio Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan.

Ujarnya, kadar pengangguran di Selangor dapat dikekalkan di bawah paras empat peratus melalui penganjuran program tersebut.

"Data Jabatan Perangkaan Malaysia telah menunjukkan penurunan pada suku tahun pertama 2023 iaitu 2.6 peratus berbanding 2.9 peratus pada tahun lepas.

"Semoga penganjuran ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor khususnya belia yang mendaftar di www.selangorjobportal.com.my atau menghadiri sesi temuduga terus di lokasi program," katanya.