Tunai janji perhalusi Perkara 6(7) yang dimansuhkan - Mohd Shafie

Mohd Shafie dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan Kota Kinabalu.
Mohd Shafie dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) akan membuat tindakan susulan supaya kerajaan Sabah mengkaji semula Perkara 6 (7) yang telah dimansuhkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu sudahpun disuarakan supaya ia tidak dimansuhkan sebaliknya dikekalkan namun perlu ditambah baik dan ia boleh diubah.

"Memperhalusi Perkara 6 Fasal (7) ini satu perkara cukup penting bagi perjalanan siapa yang akan bakal dilantik sebagai pemerintah negeri. Bukan menggunakan Akuan Bersumpah (SD), itu sebab jangan dimansuhkan, kekalkan dan kita boleh ubah untuk penambahbaikan.

"Tetapi masalahnya mereka telahpun memberi undi dan ia telah dimansuhkan, jadi saya berharap perkara ini akan disusuli dan kerajaan negeri akan menunaikan janji mereka melihat bagaimana kerangka Perkara 6 (7).

"Kerana apa yang disebutkan parti majoriti yang seharusnya akan menjadi pemerintah, jangan pula yang bukan majoriti," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Ibu Pejabat Warisan di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, Warisan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah sebulat suara menyokong dan mahu supaya Akta Anti Lompat Parti ini dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

"Ini untuk mengelakkan ketidakstabilan yang ada di peringkat politik di Sabah dan untuk memastikan supaya Akta Anti Lompat ini boleh menghakis anggapan dan tafsiran terhadap ahli politik di negeri ini," katanya.

DUN Sabah pada Khamis meluluskan Pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 bagi larangan ADUN bertukar parti dengan mendapat sokongan melebihi dua pertiga daripada ADUN Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam pembentangannya pada sidang DUN memaklumkan terdapat lima fasal terkandung selaras dengan RUU itu.