Calon tak terpilih janganlah merajuk, tua bangka dah pun...

Budaya merajuk disebabkan tidak terpilih menjadi calon dalam kalangan pemimpin politik masih menebal setiap kali pilihan raya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. - Gambar hiasan
Budaya merajuk disebabkan tidak terpilih menjadi calon dalam kalangan pemimpin politik masih menebal setiap kali pilihan raya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. - Gambar hiasan
A
A
A

SETAKAT ini kesemua parti yang bertanding hampir selesai mengemukakan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya enam negeri iaitu di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Masing-masing sama ada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), semuanya yakin calon-calon mereka boleh menang berdasarkan kriteria pemilihan mengikut pertimbangan parti masing-masing.

Merak Jalanan tidak mahu mengulas mengenai kekuatan dan kelemahan calon kerana setiap pengundi ada pertimbangan sendiri yang boleh diterjemahkan pada peti undi 12 Ogos depan.

Apa yang hendak diperkatakan ialah budaya merajuk dalam kalangan pemimpin politik yang masih menebal setiap kali pilihan raya di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Jika merajuk dengan menyendiri seorang diri tidak mengapa, tetapi apa yang berlaku adalah dengan menggerakkan protes seperti mahu tutup bilik gerakan, menurunkan bendera parti dan pelbagai gerakan sabotaj parti sendiri.

Paling menyampah ialah ia digerakkan oleh pemimpin lanjut usia yang masih tidak sedar diri bahawa mereka sudah terlalu lama memegang tampuk kuasa sehingga kumpulan lain terutamanya generasi muda tidak berpeluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Dengan pergerakan yang tidak lagi aktif seperti pada usia muda, sepatutnya pemimpin-pemimpin veteran ini muhasabah diri bahawa terdapat ramai lagi calon lain yang lebih layak.

Mereka juga perlu sedar jawatan dan kuasa semuanya hanyalah sementara dan apabila tidak terpilih untuk bertanding, berlapang dada kerana bukan selama-lamanya kita boleh menongkat langit.

Memasuki era generasi muda yang sudah celik dalam berpolitik dan mempunyai kuasa dalam memilih, golongan veteran yang masih sayangkan jawatan perlulah berubah seiring peredaran zaman supaya kita tidak terbelenggu budaya lama yang merugikan.