Penipuan jualan rumah guna Jata Negeri Selangor, logo LPHS dikesan

Rodziah (tiga, kanan) ditemui pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1 di sini pada Khamis.
Rodziah (tiga, kanan) ditemui pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1 di sini pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Orang ramai tidak boleh menyalahgunakan Jata Negeri Selangor dan logo Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk tujuan pengiklanan di media sosial.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan perundangan.

Beliau mendedahkan kerajaan negeri melalui LPHS mengesan berlakunya salah guna Jata Negeri Selangor dan logo LPHS dalam beberapa iklan penjualan rumah khususnya di media sosial akhir-akhir ini.

"Iklan-iklan terbabit juga didapati menggunakan identiti projek rumah sebagai Rumah Selangorku secara palsu," katanya pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1 di sini pada Khamis.

Lebih mengecewakan katanya, terdapat ejen terlibat mengenakan bayaran tempahan antara RM200 sehingga RM1,000 setiap unit rumah kepada pemohon walaupun mereka tidak dilantik oleh pemaju sebagai wakil jualan syarikat.

"LPHS juga tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk melaksanakan urusan pendaftaran Rumah Selangorku," katanya lagi.

Jelasnya, urusan pendaftaran Rumah Selangorku adalah percuma dan hanya dilaksanakan melalui Sistem Pendaftaran Rumah Selangorku pada laman web LPHS di pautan ehartanah.lphs.gov.my.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan daripada ejen-ejen iklan penjualan rumah dengan membuat semakan mengenai kesahihan kewujudan projek Rumah Selangorku dan pelantikan ejen terlibat sebagai wakil jualan dengan pemaju berkaitan.

Menurutnya, butiran pemaju dan projek rumah Selangorku yang tepat boleh diperolehi melalui Sistem Pendaftaran Rumah Selangorku pada laman web LPHS.

"LPHS tidak akan teragak-agak membuat laporan polis terhadap mana-mana akaun di media sosial dan mana-mana individu, syarikat atau entiti didapati mengiklankan projek perumahan dengan menyalahgunakan atau menggunakan Jata Negeri Selangor dan logo LPHS tanpa kebenaran serta identiti Rumah Selangorku secara palsu," katanya.

Ujarnya, mana-mana pihak didapati menggunakan Jata Negeri Selangor dan logo LPHS tanpa kebenaran serta menyalahgunakan atau menyebarkan maklumat palsu tidak terhad dan termasuk mana-mana orang yang membantu atau bersubahat boleh dikenakan tindakan perundangan.

Pihak terbabit boleh dihukum di bawah Seksyen 3 dan 5, Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 [Enakmen 13] iaitu denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 8 dan 13, Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 iaitu denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Ini termasuk di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.