Malaysia, Filipina perlu lebih efektif tembusi pasaran halal

Anwar ketika sidang media bersama Ferdinand Marcos Jr (kiri) selepas menerima kunjungan hormat beliau di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika sidang media bersama Ferdinand Marcos Jr (kiri) selepas menerima kunjungan hormat beliau di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Filipina perlu lebih efektif dalam menembusi pasaran industri halal Timur Tengah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan bersama Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr dalam pertemuan empat mata di bangunan Perdana Putra pada Rabu.

"Kami menyentuh mengenai potensi industri halal antara kedua-dua negara terutama dalam aspek pensijilan halal," katanya dalam kenyataan bersama di sini.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut membincangkan mengenai usaha untuk memperkasakan hubungan bilateral terutama berkaitan perdagangan dan pelaburan.

"Filipina mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri dalam kapasiti sektor perniagaan," katanya.

Beliau berpendapat, komuniti perniagaan perlu bersama mengambil peluang mengembangkan lagi hubungan bilateral serta ekonomi dan pada masa sama menghidupkan semula ekonomi kedua-dua negara pada pascapandemik Covid-19.

Selain itu, turut dibincangkan kedua-dua pemimpin itu mengenai isu kemanusiaan layanan Myanmar terhadap etnik Rohingya.

"Akhir sekali, isu yang kami sentuh adalah mengenai Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JMC) akan diadakan hujung tahun ini bagi mempercepatkan beberapa perjanjian persefahaman (MoU)," ujar beliau.

Sementara itu, Marcos berkata, JMC akan diadakan pada Oktober depan bagi membolehkan agensi kerajaan kedua-dua negara mengadakan perbincangan lebih terperinci terutama dalam aspek jenayah rentas sempadan, pertanian, industri halal, perbankan Islam, pendidikan, pelancongan, budaya, sukan serta ekonomi digital.

"Kami juga akan meneruskan kerjasama membabitkan perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan yang mana akan ditandatangani dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata, Filipina dan Malaysia juga komited mengkoordinasi usaha membangunkan Wilayah Autonomi Bangsamoro di selatan Filipina.

Ia sebagai antara inisiatif memperkasakan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

"Antara sektor yang boleh diterokai bersama adalah seperti industri halal, perbankan Islam dan keselamatan makanan," katanya.

Jelas beliau, Malaysia menawarkan kepakaran untuk melatih pegawai dan kakitangan Filipina bagi memperkasakan lagi kebolehan dalam sektor penting.

Dalam pada itu, Marcos berkata, lawatan rasminya ke negara ini bukan sahaja menunjukkan kepentingan Malaysia sebagai negara jiran, malahan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Filipina terutama menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik rasmi kedua-dua negara tahun depan.

Terdahulu, Marcos diberi sambutan di Istana Negara sempena lawatan sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Ketibaan beliau bersama isteri, Louise Araneta-Marcos pada jam 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.