Enam lelaki didakwa rompak kedai emas bernilai lebih RM1j

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak barangan emas bernilai lebih RM1 juta milik sebuah kedai emas, bulan lepas.

M.Carvinper, 20; B.Suriarao, 21; T.Yugentheran, 21; K.Thinakaran, 21; S.Mahedran, 30; dan Low King Yow, 34; masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Carvinper, pembantu kedai manakala Suriarao, Yugentheran dan Thinakaran masing-masing pelajar di sebuah kolej swasta dan Mahedran seorang peniaga dan King Yow seorang guru tuisyen didakwa bersama-sama dengan seorang lagi masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang ke atas barangan emas bernilai RM1,250,131.08 daripada pemiliknya yang sah Kok Jian Bin, 30.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di NexiGold Jewellery Sdn Bhd, Tesco Kepong, Bandar Manjalara, Sentul di sini pada 11.30 pagi, 10 April lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan jaminan bagi setiap tertuduh manakala kesemua tertuduh masing-masing diwakili peguam Revin Kumar, Izzat Amir Saharuddin, Rajesh Nagarajan dan M.M.Dinesh, memohon jaminan.

“Kami memohon supaya setiap anak guam kami dibenarkan ikat jamin kerana menanggung keluarga serta ada antara mereka masih menuntut di kolej,” kata Rajesh.

Bagaimanapun, Carvinper dan Suriarao masing-masing tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan.

Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan 24 Mei ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Mahedran dan King Yow didakwa bersama-sama atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu emas 916 anggaran berat 1,541.28 gram bernilai RM207,900 yang dimiliki secara sah oleh mangsa sama yang mereka mengetahui bahawa harta itu diterima melalui rompakan berkumpulan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdul.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di CK Gold & Jewellery Trading, Selayang Capital Complex, Selayang Kepong Expressway, Gombak di sini pada 3 petang, 4 Februari lepas mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed tidak menawarkan jaminan bagi setiap tertuduh kerana kesalahan serius bagaimanapun, Mahedran dan King Yow yang masing-masing diwakili peguam Revin Kumar dan Izzat Amir memohon supaya anak guam mereka dibenarkan jaminan kerana mereka penanggung tunggal keluarga.

“Kedua-dua tertuduh hari ini telah didakwa mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397. Jadi memohon supaya jaminan dibenarkan,” kata Revin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan mengguna pakai jumlah jaminan dengan syarat tambahan terdahulu kecuali perlu melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama